KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa supaya berhenti daripada mengatakan bahawa meminum arak merupakan hak untuk orang bukan Islam.
Ini kerana, tidak ada satu agama pun yang merestui penganutnya mengambil minuman keras disebabkan ia merupakan satu perbuatan haram terutama di sisi Islam, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya.
“Malah, arak memang sudah terbukti merosakkan kesihatan, keluarga dan masyarakat.
“Maka, ini adalah isu kita semua bersama, merentasi agama dan latar belakang sekalipun. Sepatutnya atas dasar ini sahaja sudah boleh menyatupadukan kita semua untuk sepakat menolak arak.
“Mengapakah para pemimpin kita tidak menggunakan naratif ini dalam mengulas dan membuat pendirian tentang arak?” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Amiunuddin, beliau yakin mereka yang bersungguh-sungguh mahu mempertahankan hak untuk meminum arak ini adalah pihak yang jauh daripada agama masing-masing atau tidak percaya pada agama yang dianuti.
Katanya, rakyat Malaysia yang sejati adalah mereka yang percaya pada tuhan, iaitu beragama dan perkara itu selari dengan Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.
“Maka, saya ingin menyeru agar pemimpin agama lain selain Islam untuk bersama-sama mendidik penganut masing-masing untuk menolak arak demi kesejahteraan kita bersama.
“Malah, pengharaman arak dalam Islam adalah antara contoh manifestasi rahmatan lil alamin (rahmat buat sekalian alam) yang sebenar, iaitu jika manusia menjauhi arak maka rahmat kesejahteraannya akan dinikmati bersama dari pelbagai aspek seperti kesihatan fizikal dan mental, ketenteraman awam dan sebagainya.
“Maka, mereka yang sering melaungkan slogan ‘rahmatan lil alamin’ dalam berpolitik semestinya menyokong, malah bersungguh-sungguh berusaha agar arak diharamkan di negara ini. Namun, malangnya saya tidak nampak perkara ini berlaku,” ujarnya.
Justeru, Aminuddin menyeru agar pemimpin negara khususnya menteri-menteri dan ahli-ahli politik, baik blok kerajaan mahupun pembangkang agar berhenti menggunakan naratif ‘arak adalah hak bukan Islam’ kerana arak merosakkan individu, keluarga, masyarakat dan negara tanpa mengira apa jua agama sekali pun.
Tegasnya, setiap rakyat Malaysia adalah penting dan berharga untuk dipelihara dan jika masyarakat terus dengan naratif itu, janganlah bermimpi untuk menuju ke arah sebuah masyarakat sihat, yang bebas dari ketagihan arak dan alkohol.
Tambahnya, jika kerajaan boleh memasang visi yang jelas ke arah negara sifar penjualan rokok menjelang tahun 2050 sebagaimana yang terkandung dalam TN50 dahulu, mengapa ia tidak diselaraskan sekali dengan pengharaman pengambilan arak yang sememangnya boleh mengundang banyak perkara tidak baik.
“Alangkah indahnya juga kerajaan boleh meletakkan komitmen dalam memerangi arak sebagaimana kita memerangi dadah.
“Maka, tidak perlu malu, tidak perlu segan untuk mengucapkan atau menyokong cadangan mengharamkan penjualan arak di Malaysia kerana ianya tidak mencabul hak sesiapa pun malah ianya kata-kata yang menunjukkan betapa sayangnya kita terhadap masyarakat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
Mana penyokong PN MN x nk komen ker…kerajaan 98% Muslim tp x berani tegas dgn arak.. Sedeyyy