Home Utama Hamidah dalang desak Muhyiddin lepas jawatan

Hamidah dalang desak Muhyiddin lepas jawatan

Hamidah Osman.
Hamidah Osman.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman dikenalpasti dalang utama yang mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan presiden parti.

Sumber memberitahu Malaysia Gazette, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar yang sebelum ini mengadakan sidang media di Perak membuat desakan supaya Muhyiddin letak jawatan adalah adik ipar kepada Hamidah, malah sidang media tersebut sebenarnya sudah dirancang oleh Hamidah sendiri, katanya.

Bukan itu sahaja, kenyataan yang dibacakan oleh Azrul Suhadi tersebut didakwa ditulis sendiri oleh Hamidah.

“Kita tahu siapa dibelakang Azrul Suhadi yang mendesak supaya Muhyiddin melepaskan jawatannya, kita juga tahu apa hubungan dia dengan Hamidah.

“Hamidah menggunakan adik iparnya untuk menyerang Presiden PPBM kerana tidak mahu menampakkan dirinya yang menyerang pimpinan parti.

“Kita semua tahu strategi Hamidah dalam membuat serangan seperti ini dan kemudian mendakwa parti kini berdepan perpecahan walhal sebenarnya beliau adalah punca perpecahan di Perak,” kata sumber dalaman atasan parti itu.

Sumber yang sama mendedahkan rasa tidak puas hati dan dendam Hamidah terhadap Muhyiddin didakwa berpunca kerana tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PPBM Perak namun tindakannya dilihat sudah melampaui batas apabila sudah berani menyerang pimpinan tertinggi.

“Puncanya mudah, Hamidah tidak dilantik pengerusi perhubungan negeri, itu sahaja malah Hamidah pada awalnya mengharapkan adik iparnya yang merupakan Ketua Pendaftar PPBM Perak itu dilantik sebagai pengerusi tapi alih-alih Ahmad Faizal Azumu yang dilantik,” kata sumber.

Dalam pada itu, seorang lagi sumber yang rapat dengan pimpinan atasan PPBM memberitahu, desas-desus mengatakan pimpinan tertinggi sudah mula memerhatikan tindak-tanduk Hamidah dan tindakan disiplin akan dibuat.

“Jika pimpinan mahu pecat Hamidah kami sebenarnya sokong sangat, buat apa kita perlukan individu yang pentingkan jawatan dan kedudukan sehingga sanggup menyerang pimpinan.

“Pengerusi, presiden dan timbalan presiden sudah mengadakan mesyuarat tertutup bagi membincangkan status Hamidah, mungkin dalam masa terdekat akan ada tindakan tegas diambil terhadap Hamidah dan adik iparnya yang menyerang parti dengan tuduhan tidak benar,” dedahnya.

Terdahulu, Azrul Suhadi mengadakan sidang media bagi mendesak supaya Muhyiddin melepaskan jawatan kerana sudah hilang kepercayaan pimpinan PPBM Perak.

Menurutnya, ini kerana Muhyiddin tidak pernah ikhlas kepada Pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad, penyokong dan pendokong parti.

Susulan tindakan tersebut, sidang media balas diadakan oleh Pengerusi Perhubungan PPBM Perak, Ahmad Faizal yang membuat ketetapan menyokong Muhyiddin selaku Presiden parti itu dan mendesak Azrul Suhadi memohon maaf terbuka.

Sebelum ini, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga mendakwa ada ‘gunting dalam lipatan’ dalam partinya setelah mendapati ada pihak cuba untuk menggagalkan usaha beliau  menjatuhkan kerajaan BN.

“Mereka yang mendakwa mereka sokong saya, sebenarnya adalah musuh saya yang berjuang untuk Najib (Datuk Seri Najib Razak). Jika mereka teruskan usaha ini saya bersetuju mereka dikeluarkan dari parti. Penyokong Najib tidak ada tempat dalam PPBM,” kata Mahathir. – MalaysiaGazette.