KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan memastikan pemandu mabuk mendapat hukuman yang berat diharapkan bukan ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Ini kerana, sudah banyak kes pemandu mabuk ‘membunuh’ insan-insan yang tidak berdosa dalam kemalangan seumpama itu.
Oleh itu, Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) berpendapat, kerajaan perlu memperkasakan undang-undang sedia ada supaya dapat menghalang pemandu mabuk berada di atas jalan raya.
Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, hukuman mati mandatori kepada pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan maut adalah perlu sebagai pengajaran agar tidak mengambil minuman beralkohol ketika memandu.
Artikel berkaitan: Sampai bila kita perlu hadapi isu pemandu mabuk? – MCCF
Laksana hukuman gantung kepada pesalah mabuk
Kenakan hukuman lebih berat, restoratif kepada pemandu mabuk – Pembela
Pinda undang-undang, hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk
Pemandu mabuk wajib dikenakan hukuman mati mandatori – Putra
Penjarakan pemandu mabuk 50 tahun, kata Rani Kulup
Lagipun, katanya, pengambilan minuman alkohol tidak baik untuk kesihatan.
”Sekiranya selama ini doktor-doktor dan Kementerian Kesihatan menasihati pesakit tentang pengambilan gula, sepatutnya penekanan sama perlu diambil dalam minuman beralkohol.
”Kesan buruk kepada pengamal minuman keras ini adalah sama – akan menyebabkan penyakit metabolisma seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi serta serangan jantung.
”Tetapi apa yang lebih menyedihkan ialah kesan pengambilan minuman alkohol ini menyebabkan orang yang tidak bersalah kehilangan nyawa atau menjadi cacat akibat perbuatan pemandu mabuk,” tambahnya.
Dr Ahmad Shukri berkata, kompaun yang tinggi adalah wajar sekiranya mereka didapati memandu dalam keadaan mabuk dan jika mengulangi perbuatan sama, maka tindakan hukuman penjara atau menarik lesen amat bertepatan untuk dilaksanakan.
”Jadi Perdim menaruh harapan kerajaaan serius mengendalikan kes ini dan melakukannya demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette