Home Nasional Ingkar PKPB: 98 pengunjung pusat hiburan dikompaun

Ingkar PKPB: 98 pengunjung pusat hiburan dikompaun

Seramai 98 individu dikompaun RM1,000 kerana berkumpul di pusat hiburan manakala tiga wanita asing serta dua wanita tempatan ditahan tiada berdokumen dan positif dadah.Gambar ihsan: Polis IPD PJ.

KUALA LUMPUR – Seramai 101 orang terdiri daripada 56 orang lelaki dan selebihnya wanita yang berhibur di sebuah pusat hiburan di Damansara Utama dekat sini diserbu kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan dilakukan pukul 12.20 pagi tadi.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka berkumpul di dalam premis berkenaan berusia antara 20 hingga 39 tahun.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun telah ditahan kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah dan menjual minuman keras tanpa lesen yang sah.

“Polis turut merampas empat keping resit dan 66 botol minuman keras pelbagai jenama manakala tiga orang wanita warga asing berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun di dalam premis tersebut pula ditahan kerana melanggar syarat visa lawatan dan disyaki bekerja sebagai pelayan di premis tersebut.

“Kesemua mereka kini ditahan di bawah Seksyen 135(2) Akta Kastam, Seksyen 39(b) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/633,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, seramai 98 orang warga tempatan didapati telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020.

Menurutnya, kesemua mereka telah diambil tindakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana kesalahan-kesalahan tersebut.

“Dalam serbuan sama, dua wanita warga tempatan didapati positif dadah jenis THC dan AMP dan kedua-dua suspek ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Justeru, pihak PDRM memberi amaran kepada orang ramai supaya terus mematuhi PKPB dan kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan orang ramai diambil tindakan di bawah PPPPB (Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 6) 2020,” tegasnya.-MalaysiaGazette