Home Seni Hidup Kerugian paling teruk sejak 25 tahun berniaga – Panir

Kerugian paling teruk sejak 25 tahun berniaga – Panir

Diantara reaksi peniaga dan pengunjung ketika Pegawai dan Anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kajang membuat pemeriksaan tanda harga khusus barangan yang dikawal oleh kerajaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Kajang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 JUN 2020.

KAJANG – Para peniaga Pasar Besar Kajang hari ini merungut dan mereka mengalami kerugian ekoran Covid-19 yang menyebabkan pasar tidak dibuka.

Peniaga barang keperluan harian, Panir Lingam, 61, berkata, sepanjang 25 tahun berniaga, beliau tidak pernah mengalami kerugian yang seperti sekarang.

Peniaga, Panir Lingam bercakap kepada media selepas KPDNHEP membuat pemeriksaan tanda harga khusus barangan yang dikawal oleh kerajaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Kajang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 JUN 2020.

Dakwa Panir, beliau mengalami kerugian separuh daripada modalnya kerana terpaksa menutup perniagaannya ekoran Covid-19 sejak beberapa bulan lalu.

“Perniagaan kami terjejas sebab tidak ada pelanggan tapi bekalan kita ada macam biasa, kita tidak kitar semula sayur-sayuran sebab ada yang tak tahan lama.

“Jumlah kerugian hampir separuh daripada pendapatan hari biasa sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Tiada pelanggan baru yang datang sini, cuma pelanggan tetap sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Peniaga, Sia bercakap kepada media selepas KPDNHEP membuat pemeriksaan tanda harga khusus barangan yang dikawal oleh kerajaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Kajang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 JUN 2020.

Bagi seorang lagi peniaga ikan, Sia pula mengakui tidak pernah mengalami situasi seperti ini sepanjang berniaga di pasar berkenaan.

Katanya, sehingga hari ini, pelanggan boleh dikira dengan jari biar pun sudah dua hari membuka perniagaannya.

“Tidak pernah situasi teruk macam ini berlaku sebelum ini. Tidak ada pelanggan cuma pelanggan tetap sahaja. Sudah dua hari buka pun masih tak ramai, berbanding sebelum ini,” katanya.

Peniaga, Norizan Musa bercakap kepada media selepas KPDNHEP membuat pemeriksaan tanda harga khusus barangan yang dikawal oleh kerajaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Kajang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 JUN 2020.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette sempat menemui peniaga yang merupakan kontak rapat kepada seorang pekerja wanita di pasar itu yang dijangkiti Covid-19.

Menurut peniaga, Norizan Musa, 46, wanita itu berkerja dengan bapanya dan tidak mempunyai sebarang simptom.

Ekoran itu, Norizan bersama-sama pekerjanya diarahkan menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari.

“Bila dengar dia kena Covid-19, kami jadi takut. Kita balik rumah, terus mandi. Dia orang Indonesia, dan suami dia penduduk tetap. Dia tolong bapa saya berniaga. Dia ada jumpa kami, tapi tidak lah sentuh sesiapa.

“Kami amalkan penjarakan sosial, dia sudah keluar hospital tapi kena kuarantin lagi termasuk kami kena juga kuarantin,” kata Norizan yang menjalankan perniagaan barang keperluan harian di hadapan kedai bapanya itu.

Pada 21 Mei lalu, lima peniaga disahkan dijangkiti Covid-19 sehingga menyebabkan pasar itu ditutup selama lima hari.

Tiga peniaga yang dijangkiti adalah warga tempatan dan dua lagi warga asing yang bekerja di pasar itu.

Pengunjung, Ismail Zakaria bercakap kepada media selepas KPDNHEP membuat pemeriksaan tanda harga khusus barangan yang dikawal oleh kerajaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Kajang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 JUN 2020.

Dalam pada itu, penduduk yang ditemui rata-ratanya berpuas hati dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan untuk memasuki pasar berkenaan.

“Setakat ini SOP yang dikenakan di pasar ini bagus tapi ada ketikanya satu-satu gerai itu ada orang yang duduk rapat-rapat sepatutnya peniaga itu sendiri mengamalkan penjarakan sosial sebab pelanggan kadang-kadang tidak ikut SOP sangat bila pilih sayur-sayuran, jadi pihak peniaga yang perlu amalkan penjarakan sosial.

“Pihak penguat kuasa tidak boleh duduk di pasar ini sentiasa, jadi dalam kalangan pengguna dan peniaga yang kena amalkan penjarakan sosial. Selagi tidak diamalkan, ia tidak akan berjaya.

“Semoga Allah tarik balik Covid-19 supaya kita boleh hidup aman damai seperti dahulu,” kata Ismail Zakaria.

Pengunjung, Sivabalan K.Subramaniam bercakap kepada media selepas KPDNHEP membuat pemeriksaan tanda harga khusus barangan yang dikawal oleh kerajaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Kajang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 JUN 2020.

Bagi S. Sivabalan, beliau turut berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan di pasar berkenaan.

Malah katanya, harga yang ditawarkan oleh peniaga juga berpatutan biarpun mereka mengalami kerugian sebelum ini.

“Setakat ini harga barang di pasar ini masih lagi berpatutan, pernah tutup dua minggu dan bersih jadi kita datang balik. SOP dijaga disini dengan ada pemeriksaan suhu badan, hadkan 20 orang sahaja yang boleh masuk.

“Saya puas hati dengan SOP yang dilaksanakan, sudah 20 tahun saya datang beli barang kat sini, ada beza keadaan lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette