KUALA LUMPUR- Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi memberi penjelasan terperinci mengenai perbezaan antara Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran.
“Apabila PKPD dilaksanakan, penduduk di dalam kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar dan masuk. Ini yang berlaku kepada penduduk di Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang dahulu.
“Manakala bagi PKP Pentadbiran, penduduk masih dibenarkan keluar dan masuk untuk melakukan urusan seperti membeli barangan keperluan dan sebagainya dengan syarat perlu melakukan ujian kesihatan terlebih dahulu.
“Persamaan di antara PKPD dan PKP Pentadbiran adalah kesemua penduduk kawasan terlibat diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 kawasan tersebut ditutup dengan kawat duri,” katanya semasa sidang media hari ini.
Semasa pelaksanaan PKPD, katanya, penduduk tidak dibenarkan keluar sama sekali daripada kawasan tersebut.
Makanan dan barangan keperluan dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala pusat kesihatan sementara dibuka di kawasan berkenaan.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta menjawab kekeliruan yang timbul dalam kalangan penduduk di Taman Langat Muda, Hulu Langat, Selangor yang mana kawasan perumahan tersebut dipagari kawat duri namun tiada sebarang pengumuman dibuat oleh kerajaan seperti yang dibuat ketika pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan sebelum ini.
“Kami tidak berdiam seribu bahasa. Perlu difahami ada dua perkara berbeza iaitu PKPD dan PKP Pentadbiran,” jelasnya.- MalaysiaGazette