Home Nasional Tiga taman Bukit Changgang laksana PKPD berkuatkuasa hari ini

Tiga taman Bukit Changgang laksana PKPD berkuatkuasa hari ini

Anggota PDRM membuat tinjauan sekitar laluan keluar masuk kawasan Taman Langat Murni berikutan Perintah Kawalan secara Pentadbiran bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 JUN 2020.

SHAH ALAM – Polis Kontinjen Selangor mengesahkan pihaknya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan baharu melibatkan Taman Langat Murni, Banting, berkuat kuasa, hari ini.

Jurucakapnya, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, PKPD itu dilaksanakan susulan jangkitan Covid-19 melibatkan 20 warga asing di kawasan terbabit.

“Terbaru hari ini kita ada PKPD dibuat di Taman Langat Murni, Banting Mukim Tanjung, Selangor.

“Ini ekoran 20 warga asing didapati positif Covid-19. PKPD ini di bawah IPD Kuala Langat yang berkuatkuasa hari ini 3 Jun 2020.

“Ia merangkumi Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, keluasan lebih kurang 720 ekar,” katanya pada sidang media mingguan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Terdahulu, tiga taman perumahan di Sepang dipercayai dikenakan PKPD bermula tengah malam tadi.

Taman berkenaan adalah Taman Langat Murni, Taman Langat Utama dan Taman Langat Utama 2, berhampiran Bukit Changgang.

Sejak tengah malam tadi, tular beberapa keping gambar di media sosial menunjukkan anggota keselamatan membuat pemasangan pagar kawat duri di kawasan itu.

Semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster Covid-19 baharu membabitkan pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di kawasan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan mengakibatkan seramai 24 warganegara Bangladesh dijangkiti wabak itu.

Katanya, 20 individu yang dikesan dijangkiti menginap di dalam sebuah asrama di kawasan itu, manakala empat lagi individu di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette