PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memaklumkan tarikh pembukaan semula sekolah dalam masa dua minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, garis panduan pembukaan sekolah telah disiap dan akan ditambah mengikut keadaan semasa.
“Kita sudah ada garis panduan dan keutamaan kita adalah kalau kita buka untuk pelajar jadi keutamaan adalah pada pelajar tingkatan lima dan enam.
“Mereka akan menduduki peperiksaan jadi jangka masa lebih kurang dua minggu sebelum kita buka, baru kita maklumkan kepada pelajar dan ibubapa.
“Tetapi apa yang pasti kita masih belum lagi untuk membuat keputusan bila kita akan buka sekolah tersebut tapi garis panduan seperti SOP semua sudah siap sedia dan bila saya melihat kepada pelaksanaan itu saya yakin dengan dengan kemampuan SOP yang ada dapat kita membendung penularan jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.
Awal hari ini, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah akan diedarkan mulai esok.
Ia bagi membolehkan pihak sekolah dan guru-guru membuat persediaan sewajarnya sebelum pembukaan sekolah.
Bagaimanapun, tarikh pembukaan sekolah masih belum diputuskan oleh kerajaan.
Noor Hisham berkata, antara intipati garis panduan itu adalah penggunaan penutup mulut dan hidung, penjarakan sosial antara pelajar dan tidak dibenarkan makan di kantin sekolah.
“Kita nasihatkan mereka sentiasa cuci tangan dengan sabun dan elakkan Kawsan yang sesak. Di kantin mereka berbaris dengan jarak satu meter dan makan di dalam kelas.
“Kita akan pastikan pelaksanaan itu akan berjalan dengan lancar tetapi ini adalah perancangan kita dan pelaksanaan berjalan dengan sebaik mungkin,” katanya. – Malaysia Gazette