KUALA LUMPUR – Forum Air Malaysia meminta operator perkhidmatan bekalan air di negara ini mempertimbang untuk menyediakan peruntukan yang membolehkan pengguna membuat bayaran bil tertunggak secara ansuran.
Presidennya, Saral James Maniam berkata, ia penting bagi membantu mengurangkan beban pengguna sama ada yang kehilangan pekerjaan atau tidak menerima gaji mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami juga menggalakkan semua operator perkhidmatan bekalan air supaya mengguna pakai garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi pengiraan bil air semasa tempoh PKP untuk membetulkan pembayaran terlebih caj.
“Ramai pengguna sudah membayar anggaran bil kerana bimbang bekalan air akan dipotong sekiranya tindakan sudah diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada banyak aduan yang diterima mengenai kenaikan bil air berdasarkan anggaran perkiraan yang dibuat operator bekalan air menyebabkan caj dikenakan lebih dua kali ganda malah ada yang 10 kali ganda untuk bulan Mei, merangkumi pelarasan bil bulan Mac dan April.
“Dalam beberapa kes, dilaporkan pelanggan yang sebelum ini menerima bil sekitar RM20 sebulan kini menerima bil melebihi RM90 atau lebih RM100,” katanya.
Saral berkata, selain daripada caj tambahan air, pengguna juga mempersoalkan caj minimum untuk air yang tidak digunakan.
“Penyedia perkhidmatan berkolaborasi dengan SPAN perlu secara proaktif menyebarkan garis panduan kaedah pengiraan air oleh SPAN kepada pengguna untuk memberi kesedaran.
“Pengguna juga diingatkan untuk memantau secara proaktif penggunaan air dan memainkan peranan dengan menggunakan air secara bijak,” katanya menambah diharapkan SPAN dan semua operator perkhidmatan bekalan air dapat mencari penyelesaian yang pantas dan munasabah serta memastikan perkara itu tidak berulang pada masa hadapan. – Bernama