KUALA LUMPUR – Minah Awang sujud syukur ditepi traknya sebaik sahaja menerima lesen penjaja daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Annuar, para pelanggan dan sekumpulan media yang menyaksikan peristiwa itu tersentak dan terharu dengan aksi spontan peniaga ini yang mesra disapa dengan panggilan Che Nah.
Bagi Che Nah, 71, lesen yang diterimanya itu adalah lambang kecekalan dan kesabarannya selama 35 tahun apabila usaha beliau untuk mendapatkan lesen berniaga secara sah telah dinafikan selama ini.
Meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan itu, beliau tidak pernah putus asa, semangat berniagan tidak pernah luntur dan selebihnya beliau sentiasa bertawakkal.
Che Nah berkata, beliau amat bersyukur kerana penat lelah turun naik tangga bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama 35 tahun ini, dengan lima Datuk Bandar bertukar jawatan – semuanya berakhir dengan kenangan manis.
“Kalau ditanya masalah saya, sudah berpuluh-puluh kali turun naik menghadap pegawai dan lima Datuk Bandar DBKL, tapi permohonan saya untuk berniaga secara bergerak tetap ditolak.
“Pernah hampir setiap minggu trak ditunda. Saya juga pernah diangkut sekali dan dikenakan kompaun RM300 oleh penguatkuasa jika mahu dilepaskan,” katanya yang berkongsi pengalaman getir untuk mendapatkan sekeping lesen daripada DBKL.
Che Nah yang berniaga di tempat parkir kereta di Jalan Medan Setia) berkata, sudah beribu-ribu ringgit niaganya digunakan untuk membayar kompaun DBKL.
Menurut peniaga ini, ramai orang memintanya membuka kedai tetapi beliau tidak berminat kerana sewa yang mahal.
”Ada peniaga di sini (Jalan Medan Setia) pernah membuka kedai di Taman Tun Dr Ismail tetapi terpaksa tutup sebab tak mampu bayar sewa,” katanya.
Che Nah menambah, beliau tidak menyangka pertemuan secara kebetulan dengan Annuar baru-baru ini melenyapkan kesukarannya selama ini.
Lebih manis lagi apabila Annuar sendiri yang datang menyerahkan lesen penjaja kepadanya.
Dengan lesen yang diperoleh ini, Che Nah semakin bersemangat untuk berniaga, apatah lagi wanita ini tidak suka bergantung kepada empat orang anaknya.
“Makcik tak suka bergantung kepada anak-anak, saya lebih suka berdikari. Itu prinsip hidup saya. Saya pandu trak sendiri dan berniaga makanan sendiri bersama seorang pembantu.
“Lagipun masak adalah kegemaran saya dan saya masak dengan penuh rasa kasih bagi memastikan makanan saya sedap, bersih dan berkualiti, apatah nasi kerabu saya memang eksklusif.
“Rasa nasi kerabu saya lain dari yang lain kerana gunakan daun sitam yang diimport khas dari Thailand dan bunga telang untuk mengekalkan warga asli nasi kerabu,” ujar ibu tunggal yang kehilangan suaminya 10 tahun lalu. – MalaysiaGazette
alahaiiiii…
MG ni macam dah x ader berita lain lg…