Home Nasional Jangan ambil kesempatan naikkan harga pada Ramadan – Najib

Jangan ambil kesempatan naikkan harga pada Ramadan – Najib

KUALA LUMPUR – Menjelang Ramadan yang bakal tiba, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna semata-mata untuk mengaut keuntungan melampau.

“Beberapa hari lagi kita akan menyambut bulan Ramadan. Saya ingin mengingatkan para peniaga untuk tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna, janganlah membuat keuntungan melampau,” kata Perdana Menteri dalam catatan terbaharu di Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata peniaga perlu mematuhi Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 yang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada setiap masa.

“Agensi kerajaan akan memantau harga barangan dan makanan,” katanya.

Sebanyak 10 barangan disenaraikan KPDNKK di bawah skim itu, yang bermula 22 Mei hingga 31 Mei.

Barangan berkenaan adalah kacang tanah; kacang hijau; telur ayam gred A, B dan C; kelapa biji; kelapa parut; gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.

Penalti akan dikenakan terhadap individu melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditentukan, iaitu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

— BERNAMA