Home Seni Hidup Penyanyi pun mahu kembali aktif

Penyanyi pun mahu kembali aktif

Datuk Hattan. Foto Facebook.

KUALA LUMPUR – Selepas kerajaan membenarkan penggambaran bermula 10 Jun ini, pemuzik dan penyanyi tidak ketinggalan melahirkan harapan yang sama.

Penyanyi lagu Biso Benar, Datuk Hattan berkata, penyanyi dan pemuzik yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19 juga perlu diberi perhatian dan dibenarkan untuk kembali aktif.

“Penyanyi dan pemuzik pun nak cari makan. Kita bukan nak meminta duit atau apa-apa, cuma mahu peluang kerja seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang betul. Dengan peluang pekerjaan inilah, dapat mencari rezeki menampung hidup.

“Kami tidak kisah mematuhi SOP seperti yang digariskan kepada penggiat seni. Kami hanya ingin mencari rezeki, maklumlah sudah berbulan pendapatan terputus.

“Golongan penyanyi dan pemuzik faham kerajaan perlu menguruskan banyak perkara. Namun, pasti ada cara untuk kami meneruskan survival seni. Contohnya, pemuzik jalanan boleh menghiburkan orang ramai di kafe atau lokasi tertentu mengikut SOP. Jadi, saya harap kerajaan tidak terlepas pandang golongan kami,” katanya,

Sebagai golongan seni, Hattan mengakui, situasi getir sekarang mencabar fizikal dan mental semua pihak.

“Jangan fikir artis ada bakat berniaga dalam talian sahaja. Belum tentu semua boleh berniaga. Saya sendiri bersedih dengan kesukaran teman lain.

“Jika golongan penggiat seni ada persatuan untuk bersuara demi hak dan perjuangan. Golongan penyanyi dan pemuzik pula seperti tidak dipandang dan dibela mana-mana pihak,” katanya dipetik BH Online sebagai berkata.

Terdahulu, Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan penggambaran filem, drama, iklan bermula 10 Jun ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.-MalaysiaGazette