KUALA LUMPUR – Pengasuh yang menjalankan khidmat menjaga anak-anak di rumah perlu berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memudahkan pemantauan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pembendungan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana dikhuatiri pusat asuhan atau taska yang tidak berdaftar akan mengundang risiko di luar tanggungjawab kerajaan.
“Mungkin dalam satu taman ada yang jaga tiga, empat orang anak, dan kita bimbang taska seperti ini kerana penjaga anak-anak tersebut tidak mendapat sebarang latihan jadi kalau ada perkara tidak baik berlaku itu luar tanggungjawab kementerian (KPWKM) dan kerajaan.
“Oleh kerana mereka tidak berdaftar agak sukar memantau SOP mereka.” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya.
Sehubungan dengan itu, Ismail Sabri menyeru pengusaha taska persendirian mengambil inisiatif untuk berdaftar dengan KPWKM.
“Saya juga memohon mereka download SOP melalui website KWPKM dan website JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) supaya mereka dapat melihat terperinci apa SOP dikeluarkan bagi menjaga kepentingan anak-anak, yang paling penting berdaftar dengan JKM,” tambah beliau.
Ditanya tentang risiko anak-anak yang dijaga pengasuh melebihi waktu yang sepatutnya ekoran kekangan kerja ibu bapa, Ismail berkata ianya tidak menjadi isu yang perlu dibimbangkan sekiranya pengasuh mematuhi SOP.
“Dari segi kebimbangan risiko seperti yang saya sebut taska berdaftar ada SOP yang lengkap untuk menjaga kebajikan kanak-kanak jadi kalau tmabah satu dua jam kalau SOP dilaksanakan tidak ada isu,” ujarnya lagi.
Ismail berkata ada tiga kategori taska iaitu di bawah entiti perniagaan, taska awam di bawah jabatan kerajaan dan di rumah.-MalaysiaGazette