KUALA LUMPUR – Sekolah persendirian tidak patut mengenakan yuran kepada ibu-bapa dalam keadaan sesi persekolahan masih tidak dibenarkan, tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, sepatutnya sekolah-sekolah di bawah kategori itu tidak berhadapan dengan kos pentadbiran seperti kelazimannya oleh kerana tenaga pengajar dan kakitangan tidak bertugas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
“Dalam isu sekolah separa kerajaan ini, sekolah masih ditutup oleh kerana masih ditutup tentu sahaja guru-guru di sekolah tersebut tidak mengajar.
“Jadi, kos operasi sekolah itu hampir tidak ada, mereka tidak bayar (gaji) guru-guru, staf mereka yang lain. Kenapa pula ibu- bapa yang anak mereka tidak belajar terpaksa bayar yuran walaupun separuh. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku,” tegasnya dalam sidang media hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan sekolah separa kerajaan yang menerima bantuan kerajaan namun mengenakan yuran kepada ibu bapa meskipun sesi persekolahan masih belum bermula pada waktu ini.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan sejak 27 April yang lalu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar seramai 57,729 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus ke kampung halaman masing-masing.
Hari ini, seramai 566 pelajar dijadialkan dihantar, dengan tiga penerbangan yang akan menghantar pelajar dari Kuala Lumpur ke Sibu, Miri dan Kuching.
Manakala 38 dari Miri akan diterbangkan ke Kota Kinabali, 60 dari KK ke Bintulu.-MalaysiaGazette