Home Ekonomi Kerajaan tidak bantu industri penerbangan?

Kerajaan tidak bantu industri penerbangan?

nufam

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertingkatkan usaha untuk memberi suntikan dan bantuan kepada industri penerbangan tetapi melalui syarat-syarat tertentu.

Langkah ini perlu bagi mengelakkan industri penerbangan negara gulung tikar.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, pihaknya dimaklumkan syarikat penerbangan Malindo terpaksa melepaskan 5,000 kakitangannya kerana tidak mendapat bantuan yang diperlukan daripada kerajaan.

Katanya, kerajaan janganlah berdiam diri dan mengambil jalan mudah berhubung permasalahan industri penerbangan negara kerana ia juga memberi sumbangan kepada ekonomi, infrastruktur dan pekerjaan di dalam negara.

NUFAM berkata, dengan adanya pakej ransangan ekonomi untuk syarikat penerbangan yang betul-betul memerlukan bantuan ini, ia akan dapat menyelamat beratus ribu pekerjaan dalam industri ini.

”Kerajaan harus bincang dengan semua pihak dan lihat dari segi aspek mana yang masih diperlukan oleh syarikat syarikat ini. Kerajaan boleh meletak syarat kepada mereka yang mahu terus beroperasi dan memberi khidmat kepada penumpang dari luar dan dalam negara.

”Tempoh pemulihan pasca Covid-19 mungkin akan mengambil sedikit masa tetapi biarlah semua pihak berbincang dan jangan putus asa terus,” kata NUFAM dalam kenyataannya di sini.

Tegas kesatuan itu, semua pihak harus memainkan peranan masing masing untuk menyelamatkan keadaan semasa.

Menurut NUFAM, pelan untuk pembuangan pekerja yang diwujudkan kerajaan sebenarnya bukan satu solusi tapi memberi lebih masalah.

Jika industri penerbangan sebesar ini dibiarkan tutup dan terus bankrap, apa gunanya ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pengangkutan yang sepatutnya memainkan peranan besar bagi membantu syarikat-syarikat dalam tempoh mencabar ini.

Tanggungjawab ini, tambah NUFAM harus terus dipikul bagi menyelamatkan pihak-pihak yang telah berusaha keras dan berkorban untuk kemajuan industri penerbangan di dalam negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dulu masa MAS terpaksa memberhentikan pekerja, kerajaan tidak dapat membantu walaupun MAS ini milik negara, Mustahil kali ini kerajaan dapat bantu syarikat swasta seperti Malindo. Yang pasti syarikat swasta perlu berusaha untuk menghadapi kesukaran ini. Untungnya Malaysia ada SOCSO yang dapat melindungi pekerja. Ini lah kejamannya ekonomi berasaskan capitalisme.

Comments are closed.