Home Seni Hidup ‘YB, saya minta tolong bumbung rumah nenek dimakan anai-anai’

‘YB, saya minta tolong bumbung rumah nenek dimakan anai-anai’

Muhammad Nuridzuan Norhalim bersama ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Baktee.-Gambar ihsan Asiakini.com

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dari Bachang, Melaka sanggup menumpang motosikal orang semata-mata mahu bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Dia mahu mengadu nasib tentang keadaan rumah neneknya yang perlu dibaiki.

Menerusi video di Youtube berdurasi sembilan minit 12 saat tular baru-baru ini, kanak-kanak lelaki berkenaan, Muhammad Nuridzuan Norhalim yang dibesarkan oleh neneknya meminta Norhizam membaiki bumbung rumah neneknya yang usang kerana dimakan anai-anai.

“Boleh tolong, pergi rumah runtuh, rumah nenek saya di Bachang. Nak minta tolong YB betulkan rumah nenek. Rumah nenek dimakan anai-anai,” katanya.

Meskipun pada mulanya Norhizam mencurigai kejujuran kanak-kanak itu namun beliau akhirnya membuat keputusan mengikut Muhammad Nuridzuan ke rumah neneknya melihat sendiri keadaan rumah neneknya.

“Setelah saya mendapat laporan daripada budak kecil datang kepada saya mengadu nasib mengatakan rumah neneknya nak runtuh. Saya sebagai YB kurang percaya, pada mulanya.

“Tidak percaya tapi saya yakinkan diri saya membawa dia dengan menaiki kereta rasmi saya melihat rumah neneknya tengok keadaan rumah neneknya. Bumbung rumah ini memang dimakan anai-anai nak runtuh,” katanya yang memberi jaminan akan membantunya.

Terdahulu Muhammad Nuridzuan yang datang berjumpa Norhizam di pejabatnya memaklumkan neneknya hanya bekerja sebagai penebar roti canai untuk menyara kehidupan mereka termasuk abangnya semenjak kedua ibu-bapanya bercerai.

Neneknya, Faridah Abdullah gembira dengan kehadiran Norhizam yang ingin membantunya kerana beliau bimbang bumbung usang di rumahnya mengancam keselamatan dua cucu yang dijaganya.-MalaysiaGazette

Video Berkaitan: