Home Akhbar Cina ADUN yang tidak suka bertanya

ADUN yang tidak suka bertanya

Siapakah wakil rakyat Pulau Pinang yang paling kurang mengajukan soalan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)?

PULAU PINANG – Siapakah wakil rakyat Pulau Pinang yang paling kurang mengajukan soalan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Jawapannya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan yang menang atas tiket DAP.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Pulau Pinang Ke-13 umpamanya telah menyaksikan Tanasekharan sebagai satu-satunya ADUN yang tidak menyediakan soalan untuk ditanyakan.

Speaker Law Choo Kiang juga seakan-akan dapat meneka jika ada ADUN yang tidak sediakan soalan.

Katanya, Tanasekharan dan ADUN Pinang Tunggal, Roslan Saidin dari UMNO selalu menjadi ‘dalangnya’ jika tidak cukup 26 orang yang menyediakan soalan dalam mesyuarat DUN.

“Kalau tekaan saya tidak silap, kali ini mesti kekurangan Tanasekharan lagi. Beliau sudah beberapa kali tidak menyediakan soalan bertulis,” katanya kepada China Press.

Menurut Choo Kiang, walaupun Roslan juga dianggap kurang bertanya, tetapi rekodnya sukar menandingi Tanasekharan.

Tanasekharan ketika dihubungi wartawan pula berkata, beliau pernah mengajukan dua soalan lisan dalam sesi DUN kali ini tetapi tidak menyediakan soalan bertulis.

Ditanya sebab kurang bertanya dalam DUN, Tanasekharan sekadar ketawa kecil lalu menghentikan perbualan. – MalaysiaGazette