LONDON – Bintang sensasi Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengakui dia menikmati latihan ketenteraan asas yang disertainya di Korea Selatan pada April dan Mei lalu.
Latihan wajib selama tiga minggu itu berjaya diharungi dengan cemerlang oleh pemain berusia 27 tahun tersebut sehingga dia dipilih sebagai lima pelatih terbaik dalam kalangan 157 orang keseluruhan.
Son dikecualikan daripada satu lagi latihan ketenteraan selama dua tahun yang menjadi kewajipan buat semua lelaki di negara asalnya setelah dia berjaya membantu skuad Korea Selatan memenangi pingat emas dalam saingan Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Sehubungan dengan itu, dia hanya perlu untuk menjalani latihan selama tiga minggu dan juga terdapat baki 544 jam program khidmat komuniti dalam tempoh 34 bulan akan datang yang perlu dilengkapkannya.
”Latihan ketenteraan asas merupakan pengalaman yang cukup baik dan istimewa,” ujar Son memetik ciapan di Twitter rasmi Tottenham Hotspur.
“Saya tidak dapat memberi komen apa yang saya lakukan tetapi saya benar-benar menikmatinya. Tiga minggu tersebut adalah sangat sukar.
“Hari pertama tiada seorang pun mengenali antara satu sama lain, jadi ia sedikit pelik tetapi selepas itu kami semua berkenalan.
”Kami bekerja bersama-sama, saling bantu membantu. Daripada langsung tidak bercakap dengan saya tetapi pada akhirnya kami bergurau dan menikmati masa di sana bersama-sama,” tambah Son lagi.
Menurut laporan di Korea Selatan, Son berjaya mendapatkan markah penuh dalam penilaian kekuatan mental, latihan menembak dan juga memenangi anugerah Pilsung. – MalaysiaGazette