TAWAU – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah hari ini menghantar pulang 82 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia membabitkan 77 lelaki dan lima wanita, melalui jalan laut dari Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.
Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tindakan itu membuktikan Malaysia komited memastikan semua tahanan PATI dapat kembali untuk menikmati dan menjalani kehidupan biasa di negara sendiri.
“Sehubungan itu kerajaan Malaysia juga berharap negara jiran memberi kerjasama untuk menerima warga negara masing-masing yang berada di sini, untuk dikembalikan (termasuk) tahanan warganegara Filipina yang berada di semua PTS (Pusat Tahanan Sementara),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, MKN Sabah bersama-sama Jabatan Imigresen Malaysia menyelaras tanggungjawab dengan bantuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia dan pelbagai agensi lain untuk melaksanakan operasi penghantaran pulang pendatang tanpa izin ke negara asal.
Sharifah Sitti Saleha berkata setakat ini pada tahun ini sejumlah 3,753 PATI di Sabah telah dihantar pulang termasuk warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam yang dihantar pulang melalui penerbangan yang diuruskan Jabatan Imigresen.
“Jumlah pengusiran (PATI) sejak tahun 1990 sehingga kini adalah sebanyak 594,920 orang,” katanya.
Sharifah Sitti Saleha berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap PATI tetap diteruskan walaupun negara berhadapan dengan ancaman jangkitan COVID-19.
“Tindakan ini adalah selari dengan usaha kerajaan dalam membanteras kehadiran PATI di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata kerjasama masyarakat adalah penting terutamanya majikan agar tidak melindungi dan menggaji PATI untuk bekerja. – Bernama