![MGP27122017_GETAH 5PAGI0014](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2019/09/MGP27122017_GETAH-5PAGI0014-640x427.jpg)
KUALA LUMPUR- Permintaan getah dunia dijangka berkembang 0.4 peratus pada bulan ini selepas mengalami penguncupan 23.1 peratus pada April dan negatif 10.1 peratus pada Mei 2020.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata, selepas mengalami kejatuhan harga yang ketara pada 2 April 2020, harga getah SMR 20 kini merekodkan aliran pergerakan positif dengan berlegar dalam julat RM4.60 hingga RM4.95 sekilogram bagi tempoh 6 April hingga 29 Mei 2020.
Pasaran getah katanya, diunjur bergerak positif sejajar dengan peningkatan permintaan getah asli dunia.
Namun begitu, ia masih bergantung kepada keberkesanan sesebuah negara dalam menguruskan pelan pemulihan ekonomi dan mengawal penularan wabak Covid-19 di negara masing-masing.
Faktor utama pergerakan harga tersebut disokong oleh pemulihan permintaan getah asli dunia berikutan kebanyakan negara telah melonggarkan kawalan pergerakan terutamanya China yang kini telah membuka semula operasi industri pembuatan setelah ditutup sejak akhir Januari 2020 akibat COVID-19.
Selain itu, katanya faktor perkembangan positif pasaran minyak mentah dunia yang kini berada pada paras melebihi AS$35 setong.
“Faktor lain ialah kekurangan bekalan getah asli di peringkat global di mana pengeluaran getah dunia pada 2020 dijangka merosot 2.3 peratus kepada 13.43 juta tan berbanding tahun sebelumnya akibat aktiviti penorehan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan musim daun luruh di negara-negara pengeluar getah asli,” katanya.
Menurut LGM, negara China merupakan pengguna terbesar getah asli dunia apabila permintaan getah dijangka meningkat untuk menyokong perkembangan sektor automotif.
“Rekod penjualan kenderaan di China pada April 2020 adalah tinggi iaitu meningkat 4.4 peratus setelah mencatatkan pertumbuhan negatif sejak 21 bulan sebelumnya berikutan rakyat China memilih untuk memiliki kenderaan sendiri dan mengurangkan penggunaan pengangkutan awam ketika wabak COVID-19 masih lagi aktif,” katanya.
Langkah kerajaan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi termasuk industri dan aktiviti perniagaan untuk beroperasi semula di samping kebanyakan negara di dunia yang mula melonggarkan perintah berkurung masing-masing diramal memberi kesan permulaan yang baik kepada rantaian ekonomi dunia termasuk getah asli. – MalaysiaGazette