Home Nasional Negara zon hijau mungkin diminta saring rakyat sebelum masuk ke Malaysia

Negara zon hijau mungkin diminta saring rakyat sebelum masuk ke Malaysia

Foto hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan berkemungkinan memberi cadangan kepada negara-negara yang dikategorikan sebagai zon hijau supaya membuat saringan ke atas rakyat mereka sebelum memasuki negara ini.

Langkah itu bagi mengawal pintu masuk negara dalam memastikan tiada penularan Covid-19 ke negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan kerajaan sedang melihat perkembangan negara lain menerusi indeks global dari semasa ke semasa.

“Mungkin kita boleh lihat kerjasama daripada negara jiran ataupun di bawah platform ASEAN.

“Ini semua salah satu kemungkinan yang boleh dipertimbangkan bagi mempertingkatkan aktiviti ekonomi sosial dan pelajaran selain mengawal penyakit tersebut dengan cara berhati,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di kementerinnya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya sama ada pintu sempadan antarabangsa negara ini akan dibuka sekiranya pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

Menambah mengenai perkara tersebut, Noor Hisham memberitahu, apa yang penting adalah pelaksanaan perkara tersebut dinegara ini terlebih dahulu dan sekiranya berjaya ia akan disebarkan ke peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette