LONDON – Penyerang pinjaman Manchester United, Odion Ighalo mengakui dia amat terharu apabila tempoh kontraknya itu disambung lagi bersama kelab itu.
Jelasnya, perasaan gembira tidak dapat digambarkan kerana sejak dari kecil lagi, dia menyokong kelab itu dan bermain di Old Trafford adalah impiannya
“Sekarang tempoh pinjaman saya telah dipanjangkan dan menjadikan masa depan saya lebih jelas dan kini saya lebih komited kerana tahu akan berada di sini sehingga Januari tahun depan.
“Saya memutuskan saya mahu tinggal di sini dan saya sangat gembira. Sejak hari pertama saya tiba, saya menjelaskan bahawa saya mahu melakukan segalanya untuk meneruskan kerja,” katanya kepada laman web United.
Penyerang berusia 30 tahun itu juga mengucapkan terima kasih kepada kelabnya, Shanghai Shenhua kerana mencapai persetujuan ini.
“Saya berterima kasih kepada presiden dan pengarah Shanghai atas sokongan mereka kerana mereka tahu inilah yang saya mahukan,” katanya.
Ighalo direkrut oleh United dari Shanghai Shenhua secara pinjaman pada Januari.
Sejak bersama United, pemain antarabangsa Nigeria itu berjaya menjaringkan empat gol dan satu bantuan dalam lapan perlawanan.
Menurut laporan Daily Mail, United telah membayar Shenhua sebanyak enam juta pound.
Sebagai tambahan, United menanggung gaji Ighalo sebanyak 130,000 pound setiap minggu.
Jumlah gaji Ighalo ialah 300,000 pound seminggu dan bakinya dibayar oleh Shenhua. – MalaysiaGazette