Home Nasional Artis nasyid dilantik bilal rawatib

Artis nasyid dilantik bilal rawatib

Dr. Zulkifli Mohamad

KUALA LUMPUR – Atas dasar prihatin, kerajaan menyediakan beberapa pelan khas bagi membantu penggiat nasyid di negara ini yang terjejas dengan serangan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata untuk pelan jangka pendek kerajaan akan melantik artis nasyid sepenuh masa untuk bertugas sebagai bilal rawatib di masjid dan surau Wilayah Persekutuan.

“Anugerah Allah SWT kepada mereka wajar dimanfaatkan sebaiknya,” kata beliau di media sosial

Untuk penyelesaian jangka panjang pula, bekas mufti Wilayah Persekutuan itu berkata kerajaan akan membangunkan semula industri nasyid Malaysia melalui penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal.

Kata Zulkifli, ia akan melibatkan stesen TV Al-Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Nasyeed.Com dan pertubuhan Creative Dakwah Club.

“Tiga minggu lagi saya akan meneliti kertas cadangan daripada mereka berhubung hal ini.

“Saya mahu anugerah berprestij seperti Anugerah Nasyid kembali diadakan.

“Kita akan memperkasakan nasyid menerusi industri muzik digital yang kian pesat kini,” katanya.

“Saya cuma nampak potensi yang amat besar pada mereka untuk turut sama menyumbang kepada dakwah, pendidikan dan keseimbangan psikospiritual masyarakat terutamanya dalam norma baru yang sedang kita tempuhi bersama.

“Selagi saya masih berkhidmat, saya akan usahakan sehabis baik untuk industri nasyid tanahair,” katanya.

Wabak Covid-19 yang kini melanda dunia menjejaskan semua orang dengan pihak berkuasa terpaksa melaksanakan pelbagai langkah kawalan dan pencegahan bagi memutuskan rantaian jangkitannya.

Golongan artis dan seniman adalah antara kelompok yang terjejas teruk. – MalaysiaGazette