Home Ekonomi Malaysia nadi penting buat Kazakhstan

Malaysia nadi penting buat Kazakhstan

Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.

KUALA LUMPUR – Kazakhstan mengakui Malaysia antara negara yang mempunyai kepentingan khusus buat republik itu dalam melaksanakan dasar diplomatik yang mesra.

Ia terutamanya bagi menjaga dan memperkukuhkan hubungan dua hala dengan semua negara di seluruh dunia.

Duta Kazakhstan ke Malaysia, Bolat Imanbayev berkata, kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan dua hala sejak tahun 1992 bermula pada Mei 1996 apabila Presiden Kazakhstan ketika itu, Nursultan Nazarbayev telah melakukan lawatan rasmi pertama ke Malaysia.

Jelas beliau, tahun yang sama pada Julai pula, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad membalas lawatan rasmi ke Kazakhstan.

“Hari ini, Kazakhstan dan Malaysia bekerjasama dalam sektor keutamaan seperti perbankan Islam, industri halal, minyak dan gas, infrastruktur, teknologi hijau dan lain-lain.

“Syarikat dan pelabur Malaysia melaksanakan projek di Kazakhstan dengan jumlah lebih daripada USD1 bilion dan perdagangan dua hala meningkat setiap tahun.

“Tahun lalu, ia berjumlah USD643.8 juta atau meningkat kepada 25 peratus berbanding tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia & The Arab World (ASWAQ) hari ini.

Imanbayev menambah, sejak Oktober 2009, syarikat penerbangan nasional Kazakhstan iaitu Air Astana telah mengendalikan penerbangan berjadual dari Disember 2011 iaitu tiga kali seminggu menerusi laluan Almaty – Kuala Lumpur – Almaty yang memberi kesan positif kepada perkembangan pelancongan antara negara.

Jelas beliau, ia dibuktikan apabila hampir 15,000 pelancong dari Kazakhstan mengunjungi Malaysia pada tahun 2019 dan kira-kira 10,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi Kazakhstan dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, tahun 2019 merupakan tahun bersejarah bagi Kazakhstan kerana menyaksikan negara itu melakukan peralihan kuasa yang pertama.

Peristiwa bersejarah itu tercatat melalui Pilihan Raya Presiden yang memberikan kepercayaan masyarakat kepada Presiden, Kassym-Jomart Tokayev yang mengumumkan dasar baharu untuk Kazakhstan dengan harapan untuk meningkatkan perhatian antarabangsa terhadap proses pembangunan di negara itu di mata dunia.

Pada 12 Jun 2019, Tokayev secara rasmi mengambil alih jawatan Ketua Negara dan beliau segera dia menentukan bidang utama dan menetapkan keutamaan untuk pekerjaan di negara.

Kewibawaan Tokayev terbukti apabila berjaya membawa Kazakhstan keluar daripada wabak Covid-19 selepas negara itu menamatkan tempoh darurat pada 11 Mei ini dan kini telah bersiap sedia untuk berdepan pasca pandemik itu.

Negara itu mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan mengehadkan perjalanan serta perdagangan bagi membendung penularan virus tersebut pada 15 Mac lalu.

Tokayev berkata, pihaknya akan memberi sokongan kepada masyarakat antarabangsa dalam memerangi virus itu dengan mengambil langkah-langkah pencegahan komprehensif ke atas semua negara di seluruh dunia.

Beliau menegaskan, sebagai persiapan menghadapi krisis pasca itu, kerajaan dan Bank Negara akan menyiapkan pelan lengkap untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi yang merangkumi sokongan kepada sektor yang paling terjejas. – MalaysiaGazette