PASIR MAS – Lebih 7,500 usahawan yang pernah mendapat latihan di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) perlu mengambil peluang untuk beralih kepada bidang perniagaan dalam talian melalui Kempen E-Dagang bagi Perusahaan Mikro dan PKS bernilai RM70 juta dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau telah meminta ECERDC untuk mengumpulkan usahawan tersebut untuk memberi mereka latihan dalam bidang berkenaan supaya mereka dapat menjana lebih banyak pendapatan ketika negara sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi akibat COVID-19.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu melakukan transformasi dalam bidang perniagaan mereka dan menggunakan platform digital berikutan kerajaan memberi peruntukan yang besar untuk tujuan itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengurusan tertinggi ECERDC di pejabat ECER Kelantan di Lubok Jong di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat dan Pengurus Besar ECERDC Kelantan Jalaludin Omar.
Mustapa, yang juga ahli Parlimen Jeli berkata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob telah menjemput menteri-menteri yang berasal dari Kelantan untuk duduk semeja dengan beliau bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan negeri ini dalam masa terdekat.
Beliau turut menyeru semua pihak berganding bahu dengan kerajaan Persekutuan dalam usaha memulihkan ekonomi negara yang terkesan dengan pandemik COVID-19.- BERNAMA