
PUTRAJAYA – Perkembangan kes jangkitan Covid-19 hari ini menyaksikan terdapat 19 kes positif baharu yang dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr.Noor Hisham Abdullah.
Ia menjadikan jumlah kes positif setakat ini adalah sebanyak 8,322 kes.
“Terdapat 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah
pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,674 kes (80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Sehingga 7 Jun pukul 12 tengah hari, terdapat 19 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah 8,322 kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,531 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Noor Hisham, daripada 19 kes positif baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
Menurutnya, daripada 13 kes penularan di dalam negara, dua kes adalah bukan warganegara dan 11 kes dalam kalangan warganegara Malaysia.
Perincian bagi 11 kes dalam kalangan warganegara adalah enam kes di Selangor, dua kes saringan pusat rehabilitasi di Dengkil; dua kes saringan madrasah tahfiz; satu kes Orang Kena Tahan (OKT) di Ibu Pejabat Polis Daerah di Sabak Bernam; satu kes saringan tempat kerja di Klang; Dua kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Kluster Pangsapuri Cheras.
Satu kes bagi Kluster Gombak (kluster baharu) iaitu saringan kontak rapat kes 7,064 dan kes 7,246.
“Satu kes saringan pekerja kilang di Seremban, Negeri Sembilan. Dua kes di Sabah bagi saringan kontak rapat (ahli keluarga) kepada kes 3,641 dan kes 4,537.
“Sehingga kini, seramai lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tiada kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Noor Hisham.
Hari ini, menurutnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 117 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – MalaysiaGazette