Home Nasional Ku Nan, Datuk Jo jangan bisu isu Ampang Park – Ikhlas

Ku Nan, Datuk Jo jangan bisu isu Ampang Park – Ikhlas

Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah bercakap pada sidang media mengenai protes besar-besaran Isu pengambilan tanah, perobohan Ampang Park dan tuntutan pampasan di Ampang Park, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Group diminta supaya membuka mulut berhubung isu kontroversi Ampang Park, hari ini peniaga dan pemilik lot mendesak perkara sama dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Kemarahan pemilik premis di kompleks beli-belah terbabit sudah semakin memuncak apabila memorandum berhubung rintihan mereka yang dihantar kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Johari Abdul Ghani dua bulan lalu, tidak dijawab sehingga kini.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Ampang Park hari ini, Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pemilik-pemilik asal di situ kesal dengan sikap kedua-dua pihak yang seolah-olah tidak ambil endah dengan isu tersebut.

“Kenapa hari ini menteri wilayah dan ahli Parlimen Titiwangsa jadi patung, jadi bisu. Kita hantar memo tak jawab, tak hormat kepada 40,000 pengundi di kawasan ini. Hari ini mereka semua bantah usaha MRT Corp yang mahu roboh Ampang Park.

“Kita tidak bantah kerajaan mahu melaksanakan projek MRT itu, tetapi tolong jangan libatkan Ampang Park,” katanya.

Menurut Ridzuan, Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan ada memberikan surat memangggil beberapa pemilik premis untuk berjumpa bagi menentukan jumlah pampasan yang wajar mereka terima jika perobohan Ampang Park berlaku.

Bagaimanapun, beliau mendakwa apa yang dilakukan oleh pihak terbabit sebagai “wayang”.

“Kalau nak diikutkan, mereka (MRT Corp) kena bayar kepada pemilik dan penyewa di sini dengan pampasan keseluruhan berjumlah RM2 bilion.

“Buat apa kerajaan nak bazirkan belanja sebanyak itu. Cari kaedah lain, sebelah Ampang Park ini ada tanah kosong boleh guna tanah itu, kenapa pula mereka nak roboh bangunan ini,” ujarnya.

Beliau turut mendakwa, Ikhlas telah mengenalpasti projek yang akan dilakukan di situ nanti akan diberikan kepada sebuah pemaju dan satu laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu juga sudah dibuat.

Katanya, Ikhlas sentiasa mendapatkan perkembangan semasa daripada badan berkenaan dan yakin terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes Ampang Park ini.

Untuk rekod, kemelut yang melanda pusat beli-beli pertama di ibu kota itu dilihat akan menjejaskan punca rezeki ratusan peniaga di premis berkenaan.

Pusat Beli-Belah Ampang Park dibina oleh Low Keng Huat Brothers Realty Sdn. Bhd. pada 1973 dan memberi laluan bagi pewujudan kompleks beli-belah di negara ini.

Pusat beli-belah itu kini dalam proses diambil alih oleh kerajaan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan membina Stesen Ampang Park bagi laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dipertanggungjawabkan untuk memindahkan peniaga terbabit bagi pelaksanaan projek Ampang Park MRT. – MalaysiaGazette