Home Nasional Kanak-kanak perempuan lemas dipercayai jatuh dalam baldi

Kanak-kanak perempuan lemas dipercayai jatuh dalam baldi

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan dua tahun mati lemas dipercayai terjatuh ke dalam baldi di bilik air sebuah pejabat di Bandar Meru Raya di sini, semalam.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada pukul 4 pagi dan mangsa, Fatini Aleysha Abdul Karim tidak sedarkan diri ketika ditemui dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian itu, mangsa telah membuang air besar dan teman lelaki ibu mangsa membawa kanak-kanak berkenaan naik ke pejabatnya manakala wanita terbabit menunggu di dalam kereta.

“Lelaki itu kemudian turun dalam keadaan cemas dan memberitahu wanita terbabit bahawa mangsa terjatuh dalam baldi dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sum berkata kedua-dua suspek kemudian membawa mangsa ke HRPB dan mangsa disahkan meninggal dunia.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan polis dan siasatan awal mendapati kejadian itu adalah disebabkan kecuaian sehingga mangsa jatuh ke dalam baldi dan mati lemas.

Suspek lelaki berusia 31 tahun dikenakan tahanan reman enam hari mulai hari ini manakala wanita berumur 41 tahun itu pula direman empat hari, bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

— BERNAMA