Home Sukan Gimnasium, pusat sukan, snuker boleh dibuka 15 Jun

Gimnasium, pusat sukan, snuker boleh dibuka 15 Jun

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gimnasium, dewan tertutup seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker dan pusat-pusat sukan lain dibenarkan dibuka bermula 15 Jun ini.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, para pengusaha kompleks atau pusat sukan tersebut perlu mengisi borang notifikasi pembukaan terlebih dahulu di lawan web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Borang notifikasi boleh diakses bermula hari ini.

“Ini adalah bagi rujukan SOP dan untuk tujuan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memberi kebenaran untuk aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan sentuhan badan.

Ini seperti badminton, olahraga, angkat berat, sukan permotoran, sukan ekstrem seperti payung terjun, papan luncur, paramotor dan riadah (senamrobik, yoga).

“Kebenaran ini perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu hingga tiga meter untuk aktiviti statik seperti angkat berat, berlari atas treadmill dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak, hoki dan ragbi,” katanya lagi.

Menurutnya, bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring dan sukan tempur seperti karate, taekwondo, silat dan sebagainya, keputusan mesyuarat masih kekal tidak boleh dimainkan secara permainan.

Katanya, ia dibenarkan untuk tujuan latihan sahaja tanpa sentuhan badan dengan penjarakan sosial tiga hingga lima meter antara seorang dengan seorang yang lain ketika latihan.

Penganjuran kejohanan, acara dan pertandingan sukan masih tidak dibenarkan untuk fasa ini bagi mengelakkan perhimpunan ramai.

Aktiviti sukan air di kolam renang juga masih tidak dibenarkan, ujarnya.- MalaysiaGazette