Home Ekonomi Aliran besar deposit dari Hong Kong ke Singapura tidak betul

Aliran besar deposit dari Hong Kong ke Singapura tidak betul

SINGAPURA – Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) pada Ahad menyatakan bahawa laporan media yang membayangkan terdapat aliran besar deposit dari Hong Kong ke Singapura adalah tidak betul.

Meskipun deposit mata wang asing di Singapura meningkat dengan ketara sejak awal tahun ini, jumlahnya adalah lebih kecil daripada apa yang dilaporkan media, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

“Jumlah deposit bukan bank mata wang asing dalam sistem perbankan Singapura adalah sebanyak S$781 bilion pada akhir April tahun ini, 20 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu,” kata bank pusat.

MAS berkata, laporan media bahawa deposit mata wang asing di bank Singapura melonjak hampir empat kali ganda tahun ke tahun pada April 2020 kelihatan hanya menumpukan kepda deposit dalam Unit Perbankan Domestik (DBU), tanpa mengambil kira kepada Unit Mata Wang Asia (ACU).

“Tidak bermakna hanya melihat kepada deposit mata wang asing dalam DBU kerana ia membentuk kurang 5.0 peratus daripada jumlah deposit dalam kedua-dua DBU dan ACU,” kata bank pusat.

MAS menegaskan pertumbuhan kukuh deposit mata wang asing di Singapura tahun ini dipacu oleh deposit daripada pelbagai sumber – domestik dan di luar rantau ini, bagi pelbagai alasan.

“Tidak ada mana-mana rantau atau negara tunggal yang menguasai sumber,” kata bank pusat.

MAS menambah terdapat beberapa rangsangan global bagi pertumbuhan deposit ini di tengah-tengah penurunan ekonomi yang disebabkan pandemik COVID-19, termasuk langkah bank pusat meningkatkan mudah tunai dalam sistem kewangan, bank dan perbendaharaan korporat bagi meningkatkan profil mudah tunainya dan tahap tabungan tinggi isi rumah. – MalaysiaGazette