Home Sukan Dulu rumah hantu, kini harga RM320,000

Dulu rumah hantu, kini harga RM320,000

Foto Facebook Azmeer Yusof.

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof membuktikan pelaburannya berbaloi selepas membeli rumah berkeluasan 4,500 kaki persegi yang sudah ditinggalkan hampir 30 tahun di Alor Setar.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Azmeer memberiahu, walaupun dia menghabiskan RM200,000 untuk membina semula rumah terbabit, terdapat individu yang mahu membelinya dengan harga RM320,000 ketika proses membaikpulih sedang dilakukan.

“Seseorang memberitahu tanah ini untuk dijual. Saya terus ambil keputusan untuk tengok sendiri tanah ini kerana tanah ini betul-betul di tengah Alor Setar.

“Setibanya saya di tanah ini, mengucap panjang saya. Allah Allah. Sejengkal tanah langsung tak nampak. Semuanya dah jadi rimba. Dan rumah tersebut sangat menakutkan.

“Pokok sebesar peluk orang dewasa berada di tengah ruang tamu rumah. Tandas yang terlalu gelap gelita kerana owner (pemilik) lama tak letak tingkap. Banyak lagi cerita benda yang menyeramkan masa saya datang tengok,” tulisnya.

Foto Facebook Azmeer Yusof.

Bagaimanapun, Azmeer, 30 nekad membeli tanah terbabit kerana ingin mendirikan rumah baharu dengan struktur asalnya selain membaiki mana mana bahagian yang sepatutnya.

“Yang lagi buatkan saya nak beli kerana tembok rumah masih utuh. Tapi senekad-nekad saya pun, restu mak ayah penting.

“Saya call (telefon) mak ayah minta pendapat. Ayah saya cakap tanya dulu jiran berdekatan rumah itu ditinggalkan puluhan tahun kerana hantu atau sengaja ditinggalkan.

“Kata-kata mak ayah kita kena dengar. Saya bertanya kepada jiran terdekat dan jiran terbabit mengatakan ‘kelia-kelia, takdak apa aih (semua baik tiada apa masalah). Selepas itu terjadinya pembelian rumah usang dan tanah sebesar 4,500 kaki persegi. Alhamdulillah.

“So (jadi) kepada sahabat saya yg membaca ni, beli sahaja tanah dan rumah walaupun ia usang. Takkan rugi,” katanya. – MalaysiaGazette