Home Dunia Arab Saudi rekod 3,369 kes Covid-19, tertinggi dalam sehari

Arab Saudi rekod 3,369 kes Covid-19, tertinggi dalam sehari

Pemeriksaan suhu badan dijalankan di pintu masuk masjid di Arab Saudi. foto Agensi

RIYADH – Arab Saudi mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sebanyak 3,369 kes, tertinggi dalam tempoh sehari.

Rekod harian ini antara paling tinggi dicatatkan di negara Timur Tengah sejak wabak itu melanda.

Angka ini mengejutkan hingga memaksa pihak berkuasa menutup 71 masjid di bandar-bandar seluruh negara selepas mendapati seramai 19 jemaah masjid dan pekerja pembersihan masjid positif Covid-19.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi juga melaporkan sebanyak 34 kematian baharu direkodkan, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 adalah sebanyak 746 orang.

Tambahnya lagi, ini adalah hari ketiga berturut-turut berlaku peningkatan kes positif melepasi 3,000 kes.

Setakat ini, Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan  Bimbingan Arab Saudi memutuskan untuk menjalankan proses penyahkuman di seluruh 71 masjid yang terlibat.

Sejak 31 Mei lalu Kerajaan Arab Saudi telah memberikan kebenaran untuk membuka semula 90,000 masjid di seluruh negara sejak perintah penutupan dikuatkuasakan dua bulan lalu.

Jemaah masjid juga perlu mempunyai jarak sosial sekurang-kurangnya 2 meter dan memakai penutup mulut dan hidung serta membawa sejadah sendiri bagi mengelakkan wabak ini terus merebak. – MalaysiaGazette

 

+ posts