Home Nasional Tarikh buka semula sekolah dijangka diketahui esok

Tarikh buka semula sekolah dijangka diketahui esok

Gambar hiasan

IPOH – Tarikh pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan 398,446 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dijangka diketahui esok.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya berkata, keputusan itu akan diketahui melalui mesyuarat antara Kementerian Pendidikan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipengerusikan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, petang ini.

“Pada petang ini, rasanya keputusan paling penting akan dicapai bersama KKM dan MKN, dan esok andai kata diputuskan bila (tarikh pembukaan sekolah), kita mungkin dapat mengetahui bila sesi sekolah akan mula dibuka.

“Namun, sekolah hanya akan dibuka selepas dua minggu pengumuman (pembukaan sekolah) dibuat. Selagi tiada pengumuman, selagi itu tiada sekolah akan dibuka,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, di sini hari ini.

Beliau berkata pada peringkat pertama, pembukaan semula sesi persekolahan akan melibatkan 347,177 pelajar yang akan menduduki SPM, 2,935 (SVM), 2,738 (STAM) dan 45,596 (STPM).

“Pada 8 Mei, kami membuat simulasi pengoperasian pengurusan sekolah di beberapa sekolah di Selangor dan Putrajaya. Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah telah sampai ke semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak pentadbiran sekolah,” katanya.

Ditanya sama ada pembukaan semula sekolah hanya akan melibatkan guru Tingkatan Lima dan Enam, Muslimin berkata ia akan melibatkan semua tenaga pengajar di sesebuah sekolah itu.

“Setiap guru akan menolong ketika proses pembelajaran dan pengajaran kerana setiap kelas hanya akan mempunyai antara 16 dan 20 pelajar. Setelah itu dilaksanakan, kami memerlukan lebih banyak guru untuk saling membantu. Kita perlu memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lancar,” katanya.

Mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung sesi persekolahan akan bermula sedangkan penularan pandemik COVID-19 masih belum reda, beliau berkata JPN dan PPD  akan sentiasa memastikan pihak pentadbiran sekolah mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita memberi jaminan, pelajar tidak bergejala akan dibenarkan ke sekolah. Sekiranya mereka menunjukkan gejala seperti selesema, mereka akan dinasihatkan pulang atau menjalani saringan di bilik kesihatan di sekolah yang akan disediakan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan selesema. – MalaysiaGazette