Home Nasional Rapid KL akur SOP, tarik balik pekeliling tiada penjarakan sosial

Rapid KL akur SOP, tarik balik pekeliling tiada penjarakan sosial

Rapid Rail telah melakukan perubahan pada SOP penjarakan sosial menyebabkan tindakan itu ditegur kerajaan.

KUALA LUMPUR – Selepas dua jam mengumumkan tiada lagi penjarakan sosial di semua stesen dan tren mulai esok, Rapid Rail Sdn Bhd menarik balik pekeliling tersebut dan akur dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendung pandemik Covid-19.

Peneraju pengangkutan rel di bandar raya dan Lembah Klang tu dalam satu kenyataan berkata, pihanya akur dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan penjarakan sosial di dalam LRT, MRT dan Monorel sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Polisi ini akan terus dilaksanakan sehingga keputusan baru dibuat oleh pihak kerajaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Rapid Rail menyeru kepada semua penumpang mematuhi polisi kesihatan awam yang telah ditetapkan iaitu penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka dan sentiasa memberi kerjasama dengan pasukan Rapid KL yang bertugas di stesen.

“Pengguna diminta merancang perjalanan anda memandangkan bilangan penumpang akan bertambah,” katanya.

Menurut syarikat itu, pihaknya amat menghargai komen dan pandangan rakyat Malaysia mengenai operasi perkhidmatan rel bandar.

Dalam kenyataan awal, Rapid Rail menegaskan pihaknya kembali ke tahap normal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Hadi Amran berkata, ia sejajar dengan langkah SOP yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan untuk PKPP yang mana membenarkan kapasiti penumpang 100 peratus kepada semua perkhidmatan rel kecuali ETS dan KTM Intercity bermula 10 Jun ini.

Kenyataan itu menyebabkan semua tanda-tanda penjarakan sosial yang diamalkan dalam semua stesen LRT dan sebagainya telah ditanggalkan pekerjanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama Majlis Keselamtan Negara (MKN) memaklumkan SOP penjarakan sosial bagi pengangkutan awam belum dimuktamadkan lagi.

“Pengumuman berhubung SOP ini akan dikeluarkan oleh MKN tidak lama lagi. Kesilapan amat dikesali,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Tiada lagi penjarakan sosial di stesen, tren RapidKL mulai esok