Home Politik PCM puji Muhyiddin

PCM puji Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Dengan genapnya 100 hari mengemudi negara terutama berhadapan dengan Covid-19 – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diyakini mampu meneraju negara untuk jangka masa panjang.

Malah kata Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan walaupun berdepan dengan ketidaktentuan politik namun Muhyiddin dengan cemerlang menjalankan tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Menurutnya, Muhyiddin memberi fokus utama dalam memastikan keselamatan rakyat terlebih dahulu, buktinya angka virus berterusan menunjukan penurunan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada saya itu penting, itulah pemimpin berjiwa rakyat sebenarnya. Sebenarnya banyak nyawa telah berjaya diselamatkan.

“Krisis ekonomi juga dapat ditangani dengan baik ketika ini walaupun pelbagai tohmahan yang di sebarkan oleh golongan pembangkang di kala pandemik Covid-19.

“Terima kasih juga Tan Sri Muhyiddin kerana selamatkan daripada ‘penyangak dan perompak’ sebenar yang tidak lebih dari berterusan menjual aset negara dengan alasan negara sudah bankrap selain menanggung hutang piutang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette mengulas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri menerajui pentadbiran negara sejak 1 Mac lepas hari ini.

Tambah Cheng Guan, Muhyiddin juga tampil ‘menyelesaikan’ kebimbangan rakyat terutamnya ketika PKP bertindak melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang diumumkan dalam tempoh 10 hari sahaja.

“Terbukti komitmen dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi negara.

“Tidakkah ini satu tindakan yang pantas dan tepat pada masanya untuk mengimbangi usaha membendung penularan pandemik Covid-19 dan proses pemulihan ekonomi,” ujarnya.

Selepas pakej ekonomi PRIHATIN, Muhyiddin juga mengumumkan Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) bernilai RM10 bilion.

Ini bertujuan memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan operasi mereka dalam keadaan mencabar serta mengurangkan risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran. –MalaysiaGazette