KUALA LUMPUR – Permohonan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) bagi pekerja Hotel Adya Langkawi (HAL) telahpun diluluskan dan bayaran akan dikreditkan ke akaun majikan selewat-lewatnya hari ini,
.
Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Mohd Sahar Darusman berkata, berikutan itu, isu mengenai 143 kakitangan HAL yang mendakwa belum menerima bayaran ERP sudah
diselesaikan apabila majikan akan menyalurkan bayaran ERP ke akaun setiap pekerja yang layak.
Kakitangan hotel tersebut menerima notis cuti tanpa gaji daripada majikan pada 1 April lalu dan sepatutnya menerima bayaran pertama ERP pada pertengahan Mei lalu.
Setelah menerima aduan, Perkeso telah menyemak rekod dan didapati Perkeso menerima dua permohonan bagi ERP menggunakan nama syarikat, No. SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), alamat dan maklumat akaun bank yang sama iaitu PKB Hotel Management & Services Sdn. Bhd. yang mewakili Hotel Adya Langkawi (HAL).
Walau bagaimanapun, kedua-dua permohonan ini menggunakan kod majikan (yang didaftarkan dengan PERKESO) yang berbeza.
”Perkeso menerima kedua-dua permohonan ERP pada 16 April, 2020 dengan bilangan pekerja yang berbeza.
Permohonan pertama membabitkan 65 pekerja manakala permohonan kedua, 143 pekerja.
”Bagi permohonan pertama, permohonan telahpun diluluskan dan bayaran telah dikreditkan pada 12 Mei 2020.
Oleh kerana kedua-dua permohonan ini menggunakan maklumat permohonan yang sama kecuali kod majikan dan senarai pekerja yang berbeza, maka pihak Perkeso terpaksa menyemak dan membuat penelitian secara manual bagi mengelakkan permohonan berganda,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, PKB Hotel Management & Services Sdn. Bhd juga telah mengemukakan dua permohonan kepada Perkeso bagi Program Subsidi Upah (PSU) dan bayaran untuk bulan pertama bagi kedua-dua permohonan itu telah dikreditkan pada 6 dan 7 Mei lalu.
Malah, Perkeso telah membuat pembayaran untuk bulan kedua kepada salah satu permohonan PSU tersebut pada 2 Jun 2020 manakala satu lagi permohonan PSU bakal menerima bayaran kedua pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette