Home Nasional Perlu akur untuk buat ujian saringan sebelum terbang ke Sabah

Perlu akur untuk buat ujian saringan sebelum terbang ke Sabah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Orang ramai yang mahu pergi ke Sabah perlu akur dengan peraturan untuk membuat ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas ke negeri tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peraturan tersebut ditetapkan oleh kerajaan negeri Sabah bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Peraturan ini ditetapkan oleh kerajaan negeri, mungkin terdapat kebimbangan di pihak mereka.

“Jadi orang ramai yang mahu pulang ke negeri Sabah atau sekadar melancong ke negeri tersebut perlulah membuat ujian saringan terlebih dahulu,” katanya semasa sidang media hari ini.

Sebelum ini, terdapat rungutan terutamanya dalam kalangan warga Sabah yang tinggal di semenanjung kerana perlu menanggung kos ujian saringan Covid-19 yang mahal terutamanya bagi yang telah berkeluarga sebelum dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, perkhidmatan penghantaran makanan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga jam 12 malam, sejajar dengan pelanjutan operasi premis perniagaan makanan. – MalaysiaGazette