Home Seni Hidup Mila tak putus asa, jual durian pula

Mila tak putus asa, jual durian pula

Foto Instagram Mila Jirin.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Mila Jirin terus mencari jalan lain untuk menampung pendapatan syarikatnya dengan kini menjual durian.

Menurut Mila, bisnes baharu merupakan salah satu inisiatifnya selepas perniagaan perkahwinan miliknya tidak dapat beroperasi kerana wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Sebenarnya buat pertama kali dalam hidup ini, saya jual durian dari Balik Pulau, Pulau Pinang, Pahang dan Johor.

“Kenapa saya jual durian? Kerana syarikat saya yang menjalankan perkhidmatan majlis perkahwinan tidak dapat beroperasi buat masa sekarang kerana wabak Covid-19.

“Jadi, saya cuba terokai bidang baharu ini. Alhamdulilah sambutan hangat dan terima kasih yang datang dan sanggup beratur untuk mendapatkan durian saya,” katanya.

Mila yang merupakan juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata demikan menerusi video yang dimuat naik ke akaun Instagram miliknya.

Jelas Mila, bisnes durian juga salah satu cara untuk dia menampung gaji pekerja yang selama ini bekerja dengannya.

“Ini salah satu cara saya mempelbagaikan pendapatan syarikat, selain menjalankan perniagaan kek dan mengambil alih perniagaan makanan di sebuah restoran.

“Pekerja juga bergantung harap kepada kami kerana ia melibatkan pendapatan mereka.

“Saya kira ini rezeki pekerja saya juga selain menampung kos operiasi perniagaan saya selama ini,” katanya lagi.

Mila menjalankan perniagaan menjual durian tersebut di Putra Perdana, Puchong Selangor.

Mila kini merupakan usahawan berjaya dengan memiliki perniagaan pakej perkahwinan Bizmilla Catering serta beberapa perniagaan lain. Sejak negara di landa Covid-19, Mila menceburi bisnes lain seperti kek. – MalaysiaGazette