![logo polis](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2019/05/MGD13112018_PDRM_03-2-640x427.jpg)
KLUANG – Dua beranak maut selepas kenderaan jenis Proton Saga yang dinaiki bersama seorang lagi penumpang, bertembung dengan sebuah lori tangki dalam kemalangan di Batu 23, Jalan Lama Sedenak – Simpang Renggam, dekat sini, pagi ini.
Komander Operasi bomba, Mohd Khairi Zainudin berkata, pemandu kereta, Mohamad Nor Fahmi Suparto, 27, dan ibunya Amidah Khamis, 53, penumpang belakang, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakan Mohammad Nor, Mohd Shahrafie Ibrahim, 27, yang cedera telah dihantar ke Hospital Kulai untuk rawatan.
Beliau berkata, kejadian berlaku semasa lori membawa muatan minyak sawit yang dipandu seorang lelaki berusia 48, sedang menghala arah Simpang Renggam dari Kulai, apabila ia bertembung dengan kereta dipandu Mohamad Nor.
“Kejadian berlaku di kawasan selekoh dan dilaporkan kepada bomba pada pukul 11.54 pagi,” kata Mohd Khairi dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, 16 anggota yang bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mereka yang tersepit dalam kenderaan itu dan operasi ditamatkan pada pukul 12.50 tengah hari,” katanya. – Bernama