Home Nasional Bayaran haji akan dipulangkan sepenuhnya tidak lama lagi

Bayaran haji akan dipulangkan sepenuhnya tidak lama lagi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua bayaran haji yang telah didebitkan bagi urusan haji untuk tahun 2020 akan dipulangkan pada kadar penuh ke dalam akaun tabung TH bakal haji tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, jumlah bayaran haji tersebut juga layak untuk menerima agihan keuntungan bagi tahun 2020.

“TH memohon semua bakal haji untuk bersabar serta menerima keputusan ini dengan reda dan terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pad tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TH mengumumkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M ditangguhkan selaras dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia hari ini.

Penangguhan tersebut turut merangkumi bakal haji Malaysia yang menggunakan visa furada.

Dalam soalan lazim berhubung penangguhan ibadat haji tahun ini, kerajaan Malaysia menjelaskan, setiap pengelola jemaah haji (PJH) yang dilesenkan oleh TH hendaklah memulangkan semula bayaran pakej haji kepada bakal haji yang telah membuat pembayaran tertakluk kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui di antara bakal haji dan PJH.- MalaysiaGazette