KUALA LUMPUR – Korea Utara tidak ada banyak alasan untuk menjaga hubungan peribadi antara pemimpin Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump sekiranya Washington masih berpegang teguh kepad permusuhan, lapor agensi berita negara itu, KCNA sempena sambutan ulang tahun kedua sidang pertemuan kedua-dua pemimpin negara tersebut.
Dasar Amerika Syarikat membuktikan Washington tetap menjadi ancaman jangka panjang kepada Korea Utara dan rakyatnya.
Oleh itu, Korea Utara akan terus memperkukuhkan kekuatan tentera untuk mengatasi ancaman itu, kata Menteri Luar Negeri Ri Son Gwon dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KCNA.
Trump dan Kim saling bertikam lidah dan mengancam antara satu sama lain pada tahun 2017 selepas Pyongyang melaksanakan program nuklear dan peluru berpandu terkini secara besar-besaran.
Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat menerajui usaha dunia dengan mengetatkan sekatan.
.
Hubungan bertambah baik semasa sidang kemuncak kali pertama pada bulan Jun 2018 di Singapira, kali pertama Presiden Amerika Syarikat bertemu dengan seorang pemimpin Korea Utara.
Tetapi pernyataan yang keluar dari pertemuan itu ‘sangat ringan’ berhubung perkara-perkara spesifik.
Sidang kemuncak kedua pada Februari 2019 di Vietnam gagal mencapai kesepakatan ke atas tuntutan Amerika Syarikat agar Korea Utara menyerahkan sepenuhnya senjata nuklearnya dan tuntutan Korea Utara untuk pelepasan sekatan.
Ri mengatakan pemerintahan Trump nampaknya hanya mahu fokus untuk meraih kelebihan politik sambil terus mengenakan pengasingan dan ‘mencekik’ Korea Utara dan mengancamnya dengan serangan nuklear dan perubahan rejim.
“Jangan sekali-kali kita memberikan pakej lain kepada Ketua Eksekutif Amerika Syarikat untuk digunakan sebagai pencapaian tanpa mendapat pulangan.
“Tidak ada yang lebih hipokrit berbanding janji kosong,” katanya.
Semalam, Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, negara itu masih kekal komited untuk berdialog dengan Korea Utara dan terbuka kepada pendekatan fleksibel untuk mencapai perjanjian seimbang.
Pada hari Khamis Korea Utara mengkritik Amerika Syarikat kerana mengulas urusan antara Korea dan mengatakan Washington harus berdiam diri jika mahu Pilihan Raya Presiden yang akan datang berjalan lancar.
Korea Utara kemungkinan akan berusaha meningkatkan tekanan ke atas Amerika Syarikat menjelang pilihan raya yang akan datang, kata Daniel Russel, Diplomat Amerika Syarikat untuk Asia Timur.
“Tuntutan Trump untuk ‘menyelesaikan’ masalah Korea Utara memberi mereka pengaruh,” katanya. – MalaysiaGazette