Home Nasional Pakej My30 bermula Isnin ini

Pakej My30 bermula Isnin ini

Orang ramai hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana Malaysia Berhad di Lembah Klang mulai 15 Jun ini. foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Dengan harga sekeping roti canai atau seringgit, warga kota boleh menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana tanpa had My30 untuk satu hari mulai Isnin ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, pakej My30, yang menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My100 dan My50, adalah inisiatif kerajaan dalam menjana semula ekonomi negara selepas terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

“Bayangkan dengan harga sekeping roti canai atau RM1, anda boleh menggunakan perkhidmatan MRT, LRT, monorail, BRT dan semua bas henti-henti Rapid KL di samping bas perantara berulang alik dan tanpa had dalam masa satu hari dengan menggunakan My30.

”Ia sememangnya satu penjimatan yang cukup hebat untuk semua rakyat Malaysia di Lembah Klang,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan inisiatif My30 dalam Program Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek (Penjana) pada 5 Jun lalu berkata, kemudahan perjalanan tanpa had menggunakan semua perkhidmatan kendalian Kumpulan Prasarana dengan hanya RM30 untuk tempoh 30 hari.

Pakej istimewa ini laku untuk tempoh enam bulan daripada 15 Jun sehingga akhir Disember; sekali gus menggantikan sementara pakej My100, yang dijual dengan harga RM100 untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari.

Terbuka eksklusif untuk rakyat Malaysia, para pengguna boleh mula mendaftar untu pakej baru My30 ini mulai Isnin ini (15 Jun) di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan 5 hab bas di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

Menurut beliau, selepas berakhir promosi untuk My30 ini, pakej-pakej My100 dan My50 akan dijual semula mulai 1 Januari 2021.

Sementara pakej My100, yang diperkenalkan pada 1 Januari 2019, memberi kelebihan untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan LRT, MRT, monorel, BRT dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT, pakej My50, yang berharga RM50, adalah untuk penggunaan tanpa had bas henti-henti Rapid KL selama 30 hari. – MalaysiaGazette