Home Nasional PRK DUN Chini: KKM sedia SOP khas pesakit Covid-19 keluar mengundi

PRK DUN Chini: KKM sedia SOP khas pesakit Covid-19 keluar mengundi

SOP) akan disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama agensi berkaitan dengannya untuk membenarkan seseorang individu positif Covid-19 mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang pada 4 Julai ini.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Satu garis panduan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) akan disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama agensi berkaitan dengannya untuk membenarkan seseorang individu positif Covid-19 mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang pada 4 Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, itu antara perkara penting yang akan diperhalusi pihaknya secara serius.

Bagaimanapun ujar beliau, SOP yang akan disediakan itu tidak akan membenarkan pesakit yang berada atau menerima rawatan Covid-19 di dalam wad serta berstatus sakit tenat.

“Kita akan lihat daripada senarai kes (pesakit Covid-19) yang dikuarantin atau pun mereka yang dimasukkan ke wad.

“Tapi kalau pesakit yang tenat contohnya, jadi mungkin mereka tidak dibenarkan untuk keluar daripada wad untuk melaksanakan tugas mereka untuk mengundi (PRK DUN Chini)

“Namun bagi membenarkan pesakit Covid-19 pergi mengundi secara amnya, kita (KKM) terlebih dahulu akan menyediakan SOP dan ia akan diteliti dan diperhalusi oleh pelbagai agensi yang terlibat secara langsung sebelum ia digunakan bersama (membenarkan pesakit Covid-19) mengundi,” katanya pada sidang media khas perkembangan semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Noor Hisham mengulas demikian ketika diminta menjelaskan mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan pengundi yang dijangkiti Covid-19, bergejala atau sedang dikuarantin supaya menjalankan tanggungjawab demokrasi mengundi dalam PRK DUN Chini bulan depan.

Sebelum ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun semalam berkata, kebenaran SPR itu bagaimanapun tertakluk dengan kelulusan KKM untuk pesakit atau orang bergejala Covid-19 keluar dari pusat kuarantin untuk mengundi.

Menurut Azhar Azizan SPR akan mewujudkan satu khemah khas di setiap pusat mengundi dan petugas SPR di dalam khemah itu akan bertugas dengan pakaian Peralatan Pelindung Diri.-MalaysiaGazette