
PUTRAJAYA – Garis panduan discaj pesakit Covid-19 telah dikemaskini Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana pesakit dengan jangkitan Covid-19 yang disahkan oleh makmal boleh didiscaj dari wad penyakit berjangkit apabila memenuhi kriteria-yang ditetapkan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seseorang pesakit boleh dibenarkan pulang sekiranya dia pesakit bergejala yang pulih minimum tiga hari daripada demam tanpa menggunakan ubat demam serta gejala pernafasan seperti batuk dan sesak nafas yang semakin baik.
Tempoh mestilah sekurang-kurangnya 14 hari sejak gejala bermula.
“Manakala bagi pesakit tidak bergejala, boleh didiscaj sekiranya 14 hari telah berlalu sejak tarikh ujian diagnostik Covid-19 didapati positif, dengan anggapan mereka tidak mengalami sebarang gejala selepas ujian positif mereka.
“Juga sekiranya ujian pengesanan Covid-19 tidak diperlukan sebelum pesakit didiscaj dari wad penyakit berjangkit.
“Sekiranya pesakit masih memerlukan rawatan perubatan selain rawatan Covid-19, mereka boleh dipindahkan ke wad lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Noor Hisham, tindakan terbaharu itu menyusul dari KKM selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyebut kebanyakan pesakit positif Covid-19 hanya boleh menyebarkan penyakit dalam jangka masa 10 hari daripada permulaan penyakit.
Justeru kata Noor Hisham lagi, penemuan kajian di Korea pula menunjukkan walaupun 25.9 sehingga 48.9 peratus bekas pesakit Covid-19 telah disyaki kembali positif semula selepas discaj, ujian yang dijalankan ke atas 790 kontak rapat bagi 285 bekas pesakit telah menunjukkan mereka tidak dijangkiti.
Menurutnya, ini bermakna sememangnya sudah tiada kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 tersebut dan pemantauan berkenaan bertepatan dengan hasil siasatan yang mendapati tempoh berjangkit bermula dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula.
Noor Hisham memberitahu, pemantauan KKM sendiri dalam pengurusan pesakit Covid-19, ujian rt-PCR pandemik itu bagi kebanyakan pesakit yang telah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan yang positif dalam jangka masa yang panjang meskipun apabila mereka telah sembuh.
“Ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus. Walaupun mereka masih dikesan positif, namun mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat.
“Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus Covid-19 gagal dibiakkan dan KKM telah
membuat kesimpulan bahawa keputusan positif Covid-19 bagi pesakit yang telah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang telah mati.
“Penemuan serupa juga telah dilaporkan dari beberapa negara misalnya Korea, China, Singapura dan Jerman. Kajian di China menunjukkan kebolehjangkitan berlaku 2.3 hari sebelum bermula gejala dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit bergejala.
“Kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari manakala sebuah kajian lagi di Taiwan mendapati bahawa selepas lima hari pesakit dijangkiti Covid-19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit ini,’ tegasnya.-MalaysiaGazette