KUALA LUMPUR – Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula, kebanyakan sektor-sektor perniagaan sudah mula dibuka.
Ia tidak terkecuali pusat-pusat kesihatan seperti gim yang sudah bersedia untuk beroperasi sepenuhnya.
Tinjauan MalaysiaGazette di salah sebuah pusat gim di Ampang hari ini, Enrich Fitness mendapati kakitangan gim sibuk melakukan proses sanitasi terhadap setiap peralatan yang ada hari ini.
Ini kerana mereka perlu memastikan premis mereka tidak akan menjadi ‘bersarang’ kepada pandemik Covid-19.
Salah seorang kakitangannya, S. Sivabarathi Vel berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif mengikut setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Ujarnya, setiap peralatan gim akan menjalani proses sanitasi setiap empat jam sekali selepas digunakan dan pelanggan sendiri diwajibkan membawa sendiri tuala untuk membersihkan peralatan selepas menggunakannya.
“Kami juga telah menetapkan kira-kira 50 orang sahaja pelanggan yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa selain mempastikan penjarakan sosial dibuat,” ujarnya ketika ditemui hari ini.
Menurut Sivabarathi, setiap pelanggan juga diberikan masa di dalam gim sekitar satu jam setengah sahaja di dalam gim bagi memberi peluang kepada pelanggan lain pula dan premis tidak sesak dengan orang.- MalaysiaGazette