KUALA LUMPUR – Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sepatutnya dibahaskan Parlimen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan pendapatan dan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan yang menelan kos sebanyak RM15 billion dalam suntikan fiskal.
Ini adalah duit pembayar cukai dan duit rakyat yang seharusnya disemak imbang oleh pembangkang untuk mendapat keputusan yang lebih baik untuk rakyat apatah lagi penambahan dana ini juga secara langsung meningkatkan lagi nilai defisit kerajaan yang kini sudah bernilai RM111.7 bilion atau 6.9% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dengan dibahaskan di Parlimen, kerajaan boleh mendapatkan input penambahbaikan dari semua Ahli Dewan Rakyat supaya masalah jurang ekonomi dan jurang sosial rakyat dapat diselesaikan, kata Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.
Menurut beliau, slogan “no one left behind” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri dahulu tidak lagi terlihat di dalam Penjana, oleh itu golongan peniaga kecil seperti Makcik Kiah tidak mendapat manfaat terhadap pakej rangsangan ini.
Golongan peniaga kecil ini tidaklah tergolong di dalam Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) dek kerana mereka adalah di dalam kategori sektor tidak rasmi di dalam ekonomi.
”Makcik Kiah hanya perlu bertahan dengan pemberian Bantuan Prihatin Nasional yang tidak lagi mencukupi untuk menghadapi masa mendatang. Sudahlah mereka sudah tutup gerai sejak bulan Mac, malah tiada lagi bantuan tambahan bagi golongan kecil seperti ini. Kini mereka perlu bermula dari bawah untuk meneruskan kehidupan apabila gerai kecil baru sahaja dibenarkan untuk berniaga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Malah, Amiruddin berkata, pakej internet percuma 1GB sehari yang diberikan tidaklah mencukupi untuk digunakan oleh pelajar yang hadir daripada keluarga miskin terutamanya berdasarkan laporan WhitstleOut menunjukkan bahawa satu jam sesi panggilan video berkumpulan memakan data sebanyak 810MB sejam.
Ini sudahpun memakan 80% daripada data percuma yang diberikan sedangkan sekiranya satu pelajar mempunyai tiga kelas yang memakan sekurang-kurangnya 3 jam sesi panggilan video dan ia memerlukan data sehingga 2.4GB sehari.
”Adakah kerajaan hanya mahu membiarkan jurang pendidikan melebar dan mereka ini adalah mangsa penipuan slogan “no one left behind”. Kerajaan seharusnya memberi akses tidak terhad terhadap aplikasi panggilan video bukan hanya kepada laman sesawang kerajaan dan aplikasi-aplikasi kerajaan,” soal beliau.
Katanya, insentif sektor hartanah yang diperkenalkan juga tidak membantu untuk golongan-golongan peniaga kecil dan golongan B40. Ini hanya akan menguntungkan syarikat hartanah dan golongan-golongan kaya.
Dengan menarik semula had pembiayaan 70% bagi rumah ketiga berharga RM600 ribu ke atas, ini hanya akan meningkatkan lagi jurang pemilikan rumah antara golongan kaya dan B40 kerana mereka yang berkemampuan kini menambah lagi unit rumah ketiga dek kerana pengenalan polisi ini.
”Rakyat yang miskin hanya mampu melihat dan terus menyewa seumur hidup. Adalah lebih elok sekiranya perumahan mewah dibiarkan saja harganya berubah mengikut pasaran bebas dan kerajaan patut memfokuskan untuk memberikan bantuan untuk rumah mampu milik agar lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah sendiri,” tambahnya.
Dakwanya,pemberian e-dompet bernilai RM50 walaupun dahulu ketika dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dengan fitnah-fitnah seperti akan berlakunya ketirisan data, akhirnya diperakui sendiri kerajaan sekarang.
Ini kerana inisiatif ini dapat mengelakkan persentuhan antara pelanggan dan juruwang yang secara tidak langsung mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19. – MalaysiaGazette