KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kesejahteraan buat rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Israel.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menzahirkan rasa sangat prihatin dan sokongan kepada rakyat Palestin yang terus dijajah dan ditindas oleh rejim Israel itu.
Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka juga menyokong usaha Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa yang jelas menentang pelan rejim Israel untuk mengilhakkan sebahagian wilayah Palestin.
“Seri Paduka Baginda menyokong pendirian berprinsip dan tidak berbelah Kerajaan Malaysia dalam mengecam dan menolak pelan rejim Israel untuk mengilhakkan (annex) sebahagian tanah-tanah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967 di Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, seperti yang diumumkan oleh rejim Israel sebelum ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Seri Paduka berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT.
Katanya, Seri Paduka menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat-menghormati, di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
“Seri Paduka Baginda percaya perjuangan ini juga dapat dicapai untuk rakyat Palestin sekiranya mereka bebas daripada penjajahan rejim Israel dan mereka diberi sokongan serta hak menubuhkan sebuah negara yang merdeka di wilayah-wilayah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis,” katanya. – Bernama
Kita doakan supaya orang2 Islam di serata dunia yang ditindas supaya mendapat perlindungan Allah. Pada masa yang sama umat Islam harus insaf malapetaka yang ditimpa diri sendiri tak kurang berpunca dari perbuatan umat Islam itu sendiri. Iman, Islam, Ihsan.