Home Nasional Tarik balik pelantikan Eric Paulsen dalam MPKM

Tarik balik pelantikan Eric Paulsen dalam MPKM

Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas menggesa kerajaan menarik balik pelantikan Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad menegaskan, ini kerana Eric terkenal sebagai seorang peguam dengan sikap dan pandangan yang sangat sinis terhadap Islam dan perkara-perkara berkaitan hal ehwal Islam.

“Pas begitu terkejut dengan pelantikan Eric sebagai salah seorang ahli MPKM. Sikap dan tindakan beliau sangat jelas bertentangan dengan roh dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Sehingga kini Eric masih belum kendur sentimen negatifnya terhadap Islam.

“Pas menggesa supaya perlantikan Eric Paulsen ditarik balik dan diganti dengan individu yang lebih sesuai dengan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya.

Pada Mac 2015, Paulsen ditahan berhubung dua kenyataannya mengenai undang-undang hudud di Twitter dan disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Paulsen juga pernah didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kenyataannya di Twitter yang mendakwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.