Home Nasional Wanita tipu RM39,580 pembelian atas talian dicekup polis

Wanita tipu RM39,580 pembelian atas talian dicekup polis

KUALA LUMPUR – Tidak pernah serik! Sebelum ini pernah dicekup dan dipenjara atas kesalahan penipuan tetapi masih tidak insaf atas perbuatannya, malah masih mengulangi perbuatan sama.

Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat akhir jatuh ke tanah juga.

Seorang wanita berusia 25 tahun yang cuba menipu dalam urusniaga dalam talian semalam.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menahan suspek dalam serbuan yang dijalankan di sebuah hotel di Setapak pada pukul 7.40 malam semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia), Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, turut ditahan dalam serbuan itu adalah dua lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai rakan suspek wanita itu.

“Suspek telah diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Gombak dan direman selama empat hari bermula hari ini. Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut polis mendapati suspek menghubungi mangsa yang telah mengiklankan penjualan telefon bimbit di sebuah laman web jualan di atas talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek kemudian menyatakan minatnya untuk membeli telefon bimbit itu dan bersetuju untuk bertemu mangsa.

“Dalam pertemuan dengan mangsa pada pukul 10 malam 13 Mei lalu, suspek telah menujukkan resit palsu kononnya pemindahan wang telah telah dibuat ke akaun bank mangsa dan mendesak agar mangsa menyerahkan telefon tersebut dengan segera kerana suspek terpaksa bergegas balik ke Johor untuk melawat ibu sakit.

“Tanpa membuat pemeriksaan, mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek telah menyerahkan telefon itu kepadanya dan mangsa kemudiannya mendapati tiada sebarang pemindahan wang dibuat oleh suspek.

“Kerugian yang dialami mangsa adalah kira-kira RM3,000,” ujarnya lagi.

Katanya, polis percaya dengan penahanan suspek wanita itu, 14 kes lain dengan kerugian RM39,580 berjaya diselesaikan.

“Antara lain semakan rekod juga mendapati suspek wanita yang ditahan kali ini pernah dihukum empat bulan penjara bersabit tiga kes penipuan yang serupa sebelum ini,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati dan berwaspada dengan sebarang transaksi pembelian online yang ingin dibuat.

“Sentiasa membuat semakan bagi mendapatkan pengesahan berkenaan kewujudan penjual, pembeli, barangan mahupun transaksi kewangan yang dibuat bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata, tidak dinafikan platform penjualan atas talian memberikan banyak kemudahan kepada pelanggan untuk membeli barangan.

Namun ianya juga membuka peluang kepada kegiatan penipuan bagi penjenayah yang inginkan keuntungan mudah, tambah beliau.

Statistik JSJK mencatatkan 6,418 kes penipuan belian atas talian dengan kerugian RM31.2 juta pada tahun lalu.

Bagi empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,525 kes dengan kerugian RM10.2 juta dilaporkan. – MalaysiaGazette