Home Nasional Harga My30 berbaloi, pengguna gembira

Harga My30 berbaloi, pengguna gembira

Seorang wanita menggunakan perkhidmatan LRT di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2020

KUALA LUMPUR- Pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mendapat respons positif dalam kalangan pengguna pengangkutan awam tegar di ibu kota.

Rata-rata warga kota yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari gembira dengan tawaran pembelian pas perjalanan yang bernilai RM30 itu.

Pekerja swasta, Delia Yasin, 50 yang teruja dengan pengenalan My30 itu, telah pun membeli pas perjalanan tersebut.

Delia Yasin

“Saya membelinya kerana My30 sungguh menjimatkan hanya RM1 sehari sahaja,” katanya ketika ditemui di sini.

Untuk rekod, pas perjalanan tanpa My30 merupakan insentif yang diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) yang diumum kerajaan baru-baru ini.

Dijangka hampir sejuta pengguna kenderaan awam di Lembah Klang menerima manfaat daripada insentif yang membabitkan penggunaan empat perkhidmatan pengangkutan awam iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL monorail dan bas Rapid KL.

Gayathari Anbarasu

Sementara itu, remaja yang baharu sahaja bekerja, A Gayathari, 20, berkata, My30 sebagai permulaan yang baik untuk pengguna berjimat cermat.

“My30 ini sangat menjimatkan, terutamanya bagi saya yang melakukan perjalanan dari Kajang, Selangor. Saya sangat teruja dengan bantuan ini, selain dapat mengurangkan kos sara hidup saya.

“Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk meneruskan insentif ini, walaupun selepas tempoh pada akhirnya pada Disember depan,” kata beliau.

Mohd Shahrul Helmi Mansor

Pekerja swasta, Mohd Sharul Helmi Mansor, 25 pula memaklumkan beliau selama ini menggunakan Touch N Go sahaja untuk perjalanannya setiap hari dan bersyukur apabila pas perjalanan tanpa had ini diperkenalkan.

Tambahnya dengan hanya RM30 iaitu RM1 untuk setiap perjalanan, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk memilikinya meskipun bagi tempoh enam bulan sahaja.

“My30 sangat menjimatkan kerana setiap hari saya guna pengangkutan awam dari Petaling Jaya, Selangor untuk ke pejabat di Pantai Dalam.

“Memang sangat berbaloi untuk saya gunakan,” katanya. – MalaysiaGazette